Jerman cadang perkenal cukai masjid

Kebanyakan penduduk Jerman menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Masjid ini. - Sumber foto: Liputan6.com
Kebanyakan penduduk Jerman menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Masjid ini. - Sumber foto: Liputan6.com
A
A
A

JERMAN baru-baru ini sedang merangka untuk memperkenalkan ‘Mosque Tax’ (Cukai Masjid) untuk semua penganut agama Islam di Jerman. Cukai yang diperkenalkan ini adalah seperti ‘Church Tax’ (Cukai Gereja) yang dikenakan kepada penganut Kristian.

Cukai Masjid ini dikatakan salah satu usaha kerajaan untuk membebaskan masjid daripada pengaruh asing seperti pengaruh Kesatuan Turki-Islam untuk Hal Ehwal Agama (Turkish-Islamic Union for Religious Affair, DITIB) dan negara-negara Islam lain.

Sebelum pengenalan cukai ini, masjid-masjid di Jerman bergantung kepada penderma-penderma asing yang dikhuatiri kerajaan secara tidak langsung menyebarkan ideologi fundamentalis.

Isu ini sepertinya berkait rapat dengan pengaruh besar DITIB kepada penganut agama Islam di Jerman.

DITIB merupakan sebuah agensi hal ehwal Islam kerajaan Turki yang berpusat di Jerman. Pada tahun 2016 sahaja, DITIB dianggarkan menaja sebanyak 900 buah masjid di Jerman. DITIB juga berperanan untuk melatih imam-imam dan guru-guru agama di Ankara sebelum dihantar ke Jerman.

DITIB didakwa membawa Islam yang tidak sesuai dengan acuan dan budaya masyarakat setempat di Jerman.

Dengan adanya cukai ini, masjid-masjid di Jerman tidak lagi perlu bergantung kepada dana yang diberikan oleh DITIB, sekaligus mengurangkan pengaruh DITIB terhadap agama Islam di Jerman dan kerajaan Jerman akan mempunyai lebih banyak kuasa ke atas masjid-masjid di Jerman.

Kebanyakan penduduk Jerman menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Masjid ini. Cukai ini dilihat sebagai usaha kerajaan mengiktiraf agama Islam dan penganut agama Islam di Jerman.

Artikel Berkaitan:

Seyren Ates, pengasas masjid liberal Jerman, Masjid Ibn Ruschd-Goethe, juga bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan cukai masjid ini. Beliau juga menyebut tentang muslim di Jerman perlu membiayai sendiri masjid dan mempunyai identiti sendiri sebagai penganut agama Islam di Jerman.

Penganut agama Islam di Jerman dikatakan tidak dapat mengintegrasikan diri mereka dengan kehidupan dan budaya penduduk Jerman.

Bukan itu sahaja, cadangan cukai masjid juga dilihat dapat membendung pandangan negatif masyrakat terhadap penduduk Islam di Jerman melalui: pertama, usaha kerajaan mengiktiraf agama Islam dengan kewujudan cukai ini; kedua, apabila masyarakat Islam di Jerman dilihat lebih seperti penduduk Jerman yang lain dan bukannya seperti masyarakat daripada timur tengah atau Turki.

Memetik keterangan Seyren Ates mengenai identiti masyarakat Muslim di Jerman, isu ‘Islam Jerman’ bukanlah sesuatu yang asing.

‘Islam Jerman’ merupakan usaha kerajaan untuk mendefinisi semula Islam di Jerman mengikut acuan dan budaya masyarakat Jerman.

Meskipun usaha kerajaan untuk mendefinisi semula Islam di Jerman ini masih belum begitu jelas kelihatan, namun ianya jelas kelihatan pada Persidangan Islam Jerman.

Persidangan Islam Jerman pada asalnya bertujuan untuk menjadi medium perbincangan antara kerajaan dan masyarakat muslim Jerman.

Namun, pada tahun lalu, jemputan kerajaan untuk menghadiri persidangan ini telah didominasi oleh komuniti Islam liberal dan sekular.

Malah, kerajaan Jerman turut mengundang aktivis Islam ultra-sekular yang juga mempunyai padangan anti-Islam.

Menyebut tentang pendefinisian semula Islam di Jerman, kerajaan Jerman perlu jelas bahawa prinsip dan dasar agama Islam itu bersifat 'tsabat' (teguh dan tetap) dan 'murunah' (boleh berubah mengikut kesesuaian namun masih mengikut prinsip asasnya).

Menurut Yusuf Al-Qardhawi, dasar agama Islam itu tetap pada tujuan dan matlamat namun fleksibel pada bentuk perlaksanaan, tetap pada dasar dan kaedah umum tetapi fleksibel pada perkara cabang atau furu’, dan tetap pada nilai keagamaan dan akhlak tetapi fleksibel pada urusan keduniaan dan ilmu pengetahuan.

Justeru, jika cukai masjid ini hanya berperanan untuk membantu masjid-masjid di Jerman, ia merupakan satu langkah yang baik. Namun, jika ianya sekaligus menjadikan medium kerajaan untuk mendefinisi semula agama Islam di Jerman, kita harus lebih tegas dalam isu ini.

*Penulis adalah graduan sarjana muda Psikologi daripada Aberystwyth University, United Kingdom dan felo penyelidik di Euromates.