JKJAV perinci dua kategori penerima vaksin Covid-19

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengeluarkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan memperincikan dua kategori penerima vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kategori pertama ialah anggota yang terlibat secara langsung dengan penjagaan rawatan dan kesihatan.

Kategori tersebut membabitkan institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertahanan, Hospital Pembelajaran dan Hospital Swasta.

“Ini meliputi anggota teknikal seperti kumpulan pengurusan dan profesional, paramedik serta auksiliari yang terlibat dalam penjagaan pesakit di fasiliti kesihatan seperti Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pegawai Sains.

“Jururawat, penolong pegawai perubatan, pemandu, juru x-ray, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu kesihatan awam turut terdiri dalam kategori pertama,” kata kenyataan itu tersebut pada Isnin.

Garis Panduan Penetapan senarai Barisan Hadapan
Garis Panduan Penetapan senarai Barisan Hadapan

Sementara itu, kategori kedua ialah anggota yang terlibat dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, anggota keselamatan dan perkhidmatan penting.

Kategori berkenaan seperti sektor kesihatan terdiri daripada pengamal perubatan am, doktor gigi swasta, pengamal perubatan tradisional dan komplementari serta makmal swasta yang berdaftar.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Perkhidmatan sosial seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, guru-guru sekolah yang menghidapi lebih daripada satu masalah kesihatan kronik atau pelbagai morbidti turut dalam kategori kedua,” ujarnya.

Pada Isnin, Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba telah menandatangani dokumen garis panduan itu yang dimuat naik di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan takrifan barisan hadapan.