i-Sinar selamatkan perniagaan piza

Siti Marisah menarik nafas lega apabila perniagaannya masih beroperasi walaupun mengharungi bermacam dugaan sejak Covid-19 melanda.
Siti Marisah menarik nafas lega apabila perniagaannya masih beroperasi walaupun mengharungi bermacam dugaan sejak Covid-19 melanda.
A
A
A

PASIR MAS - Menjadi salah seorang individu yang layak mengeluarkan caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi skim i-Sinar ibarat rezeki terpijak buat Siti Marisah Ismail pada saat negara berperang melawan pandemik Covid-19.

Mana tidaknya, skim i-Sinar itu membolehkan Siti Marisah, 34, memanfaatkan kemudahan tersebut untuk membesarkan lagi perniagaan piza secara kecil-kecilan yang diusahakan bagi meneruskan kelangsungan hidup kesan serangan Covid-19.

“Pada peringkat awal, saya tidak terfikir untuk mengeluarkan wang simpanan di KWSP, namun disebabkan Covid-19 saya tidak mempunyai pilihan demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Covid-19 memang memberi kesan yang cukup perit buat saya, tambahan perniagaan piza baru sahaja hendak bertatih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Bechah Semak, Bunut Susu di sini.

Menurutnya, sejurus permohonan i-Sinar diluluskan, dia menggunakan wang tersebut yang dicampur dengan tabungan untuk membeli sebuah kereta terpakai dan kelengkapan tambahan bagi memajukan lagi perniagaan pizanya.

Siti Marisah berkata, wang tersebut turut digunakan untuk membeli gajet bagi merancakkan lagi jualan piza menggunakan kaedah pemasaran secara dalam talian.

Akuinya, Covid-19 yang mula menyerang negara pada 18 Mac tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan impak yang cukup besar apabila perniagaannya merosot.

Katanya, bagaimanapun dia bersyukur apabila i-Sinar menjadi ‘penyelamat’ perniagaan yang dimulakan sejak tahun 2018 lalu.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kemudahan yang ada, saya dapat meneruskan perniagaan melalui jualan online dan penghantaran secara terus ke rumah pelanggan.

“Alhamdulillah langkah prihatin kerajaan terhadap rakyat, perniagaan saya semakin maju dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat ketika ini walaupun negara masih lagi berperang dengan Covid-19,” katanya.