Yeop nafi hajat Kitchee SC

Pemain pasukan Perak meraikan kejayaan setelah menang keatas pasukan Kitchee Sc pada pertembungan pusingan kelayakan Liga Kejuaraan AFC di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
Pemain pasukan Perak meraikan kejayaan setelah menang keatas pasukan Kitchee Sc pada pertembungan pusingan kelayakan Liga Kejuaraan AFC di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERAK mengesahkan slot ke aksi play-off kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menewaskan Kitchee SC menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 di Stadium Perak, malam tadi.

Wander Luiz, Amirul Azhan Aznan, J.Partiban, Gilmar da Silba, Shahrul Saad dan Kenny Pallraj muncul wira skuad The Bos Gaurus itu apabila menyempurnakan sepakan kecuali sepakan Leandro Dos Santos yang berjaya diselamatkan.

Perak mendapat peluang keemasan untuk membuka jaringan seawal minit ke-2 perlawanan apabila penyerang import Gilmar Da Silva berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.

Bagaimanapun, rembatan Gilmar tepat ke dakapan penjaga gawang pelawat, Wang Zhenpeng.

Minit kelima giliran Muhammad Firdaus Saiyyadi untuk lolos daripada kawalan pertahanan pelawat, namun pemain berkenaan lebih dahulu dikesan ofsaid oleh pegawai perlawanan.

Perak akhirnya membuka jaringan pada minit ke- 14 menerusi pemain import, Wander Luiz yang mudah menolak masuk menewaskan Zhenpeng.

Gol berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk mengasak ke gawang lawan untuk menambah jaringan, namun beberapa percubaan dilihat gagal menepati sasaran.

Penghujung babak pertama menyaksikan Kitchee SC mula mencemaskan mengatur serangan balas ke gawang Perak, namun masih gagal menembusi benteng pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Kitchee SC beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanannya Matthew Smith dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua apabilamemegang bola dengan sengaja ketika menghalang rembatan Wander Luiz pada mint ke-48.

Kesempatan itu cuba dimanfaatkan kesebelasan Perak apabila beberapa asakan diatur ke gawang lawan bagi menambah jaringan, namun tetap gagal menembusi gawang lawan.

Namun pelawat yang hanya beraksi dengan 10 pemain pula yang dilihat berjaya mencemaskan gawang tuan rumah dan hasilnya pemain gantian Li Ngai Hoi bijak memanfaatkan peluang untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-85.

Kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan hingga ke wisel penamat perlawanan dan menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Perak hampir menjaringkan gol kedua tapi rembatan Gilmar tinggi melewati palang gol, lawan pada minit ke-110.

Asakan-asakan Perak selepas itu juga dilihat gagal menepati sasaran untuk perlawanan diheret ke babak kedua masa tambahan.

Perak dilihat mendominasi babak kedua masa tambahan apabila mengasak hebat ke gawang Kitchee SC untuk meledak jaringan.

Namun segala usaha berkenaan menemui jalan buntu apabila segala asakan yang dilancarkan gagal menepati sasaran dan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Ibarat ulangan final Piala Malaysia kesebelasan Perak tidak mensia-siakan peluang untuk menempah pertemuan dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada aksi play-off di Stadium Ulsan Munsu, 19 Februari ini.

PERAK - Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad (kapten), Leandro Dos Santos, Wander Luiz, Brendan Gan, Muhammad Firdaus Saiyyadi (J.Partiban) Mohd Idris Ahmad, Mohd Nor Hakim Hassan (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Muhammad Rafiuddin Rodin (Kenny Pallraj), Amirul Azhan Aznan

KITCHEE SC - Wang Zhenpeng, Daniel Cancela Rodriguez, Helio Jose Goncalves, Matthew Smith, Azevedo Pedreira, Lucas Espindola, Huang Yang (kapten), Ju Yingzhi (Li Ngai Hoi), Law Tsz Chun (Cheng Chin Lung), Kristian Vadocz, Chan Shinichi (Jorge Tarres Paramo)

Pengadil : Hanna Hattab (Syria)

Pembantu pengadil 1: Jasem Abdulla Yousef Abdulla Al-Ali - Emiriyah Arab Bersatu (UAE)

Pembantu pengadil 2: Ali Ahmad (Syria)