Liga Pro Saudi lobi sertai Liga Juara-Juara

Ronaldo membuka jalan lebih ramai bintang ternama dunia untuk menyertai kelab Arab Saudi bersaing dalam Liga Pro Saudi. Foto Agensi
Ronaldo membuka jalan lebih ramai bintang ternama dunia untuk menyertai kelab Arab Saudi bersaing dalam Liga Pro Saudi. Foto Agensi
A
A
A

ARAB Saudi dikhabarkan giat melobi untuk memperoleh tiket 'wild-card' bagi menyertai pentas berprestij kelab bola sepak dunia, Liga Juara-Juara.

Usaha itu hadir selepas ramai bekas pemenang pertandingan terbesar kelab itu menuju ke Liga Pro Saudi setelah mendapat tawaran lumayan dari negara Teluk itu.

Bintang sensasi, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, N'Golo Kante, Riyad Mahrez, Sadio Mane dan Neymar ketika ini mempamerkan aksi hebat mereka di Arab Saudi.

Projek itu merupakan sebahagian daripada pelaburan besar Dana Pelaburan Awam (PIF) Saudi yang bukan hanya tertumpu kepada bola sepak tetapi sukan secara umum.

Mereka ketika ini giat mengorak langkah untuk bersaing dalam kancah bola sepak Eropah.

Para pemimpin persatuan bola sepak negara Arab itu giat merangka permintaan khusus kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), lapor Corriere dello Sport.

Pemimpin bola sepak negara Teluk itu berharap juara Liga Pro Saudi diberi peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara bermula musim depan.

Mereka merancang untuk mendapatkan slot itu menerusi 'wild-card' bagi membolehkan juara liga domestik Saudi bertanding dalam pertandingan ternama kelab Eropah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Peluang tersebut dilihat sebagai cerah susulan format Liga Juara-Juara akan berubah mulai musim 2024-25 berbanding format semasa 32 pasukan kepada 36 pasukan.

Perubahan terbesar menyaksikan transformasi daripada format peringkat kumpulan secara tradisi kepada fasa satu liga yang melibatkan semua pasukan bertanding.