X

Kindly register in order to view this article
!

Terap elemen benci rasuah di sekolah

Gambar kecil: Mohd Hisham
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Pendidikan dicadang memperkenalkan elemen antirasuah dalam mata pelajaran Sivik di sekolah menengah bagi mendidik kesedaran dalam kalangan pelajar pada peringkat awal.

Pakar motivasi, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, pendedahan awal mengenai budaya rasuah berupaya menanam sifat integriti generasi masa depan negara.

Menurutnya, rasuah perlu digambarkan sebagai perbuatan jijik yang kotor dan perlu dijauhi oleh semua pihak.

“Silibus antirasuah ini penting supaya generasi muda tahu tentang budaya kotor ini yang jika sabit kesalahan pasti dikenakan hukuman berat selain dibenci oleh agama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Hisham yang juga Pengasas Kolej Pengajian Tinggi Islam (KPTI) Malaysia berkata, nilai-nilai murni harus ditanam sejak kecil bagi membentuk budaya kejujuran.

Katanya, jika generasi muda berasa jijik dengan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa sudah pasti penjawat awam, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat mempunyai tahap integriti yang tinggi.

“Di peringkat nasional sudah meletakkan rasuah sebagai musuh negara yang perlu dibanteras habis-habisan.

“Kewujudan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ternyata berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan telus, berintegriti dan tidak memilih bulu dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak terlibat dalam perbuatan tidak bermoral terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat menambah bilangan anggota penguat kuasa SPRM untuk ditempatkan di setiap jabatan kerajaan.

Menurutnya, penambahan anggota SPRM dapat meningkatkan lagi integriti dalam kalangan penjawat awam sekali gus mengelakkan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan.

Selain itu katanya, kesalahan rasuah juga perlu sering diingatkan melalui khutbah Jumaat di masjid.

“Peranan institusi masjid adalah penting dalam memberi didikan dan kefahaman kepada seluruh masyarakat terutama dari sudut hukum agama berhubung perlakuan rasuah,” kata beliau lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!