X

Kindly register in order to view this article
!

Penghalau hantu 'pukul' kanak-kanak sampai mati

Gambar hiasan
A
A

COLOMBO - Polis Sri Lanka pada Ahad menahan individu menggelar dirinya sebagai penghalau hantu selepas seorang kanak-kanak yang 'dirawatnya' menemui ajal akibat 'dipukul' suspek ketika melakukan ritual tersebut.

Wanita yang tidak didedahkan identiti itu dipercayai memukul mangsa berusia sembilan tahun beberapa kali dengan tongkat bagi tujuan mengusir hantu yang dikatakan merasuk kanak-kanak itu.

Menurut jurucakap polis, ibu bapa mangsa membawanya untuk 'dirawat' wanita itu di perkampungan Meegahawatte di luar Colombo.

Jiran suspek kemudiannya terdengar tangisan kanak-kanak itu, namun tidak sempat menyelamatkannya.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital," kata Ajith Rohana.

Jelasnya, beberapa ritual untuk menghalau hantu semakin kerap dilaporkan sejak beberapa tahun lalu dan sebahagian daripadanya turut mencederakan fizikal termasuk menyebabkan kematian.

Difahamkan, ramai penduduk tempatan lebih mempercayai bomoh dan penghalau hantu untuk membantu pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Pavithra Wanniarachchi mendedahkan beliau mengambil ubat yang didakwa dapat memberikan kekebalan seumur hidup terhadap jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau masih dijangkiti dan terpaksa dirawat di unit rawatan intensif. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!