Reman suspek curi rantai leher kanak-kanak disambung 2 hari

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Reman seorang wanita dilanjutkan dua hari lagi bagi membantu siasatan kes mencuri rantai leher kanak-kanak di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Seksyen 13, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perintah sambung reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu diperoleh sehingga Khamis.

"Reman dapat sambung dua hari lagi sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Ahad, media melaporkan rakaman video mengenai tindakan suspek itu telah tular di media sosial.

Mohd Iqbal dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, suspek telah mengambil rantai leher seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara memotong dengan sesuatu objek dan menarik rantai leher itu.

Katanya, tindakan suspek itu telah dirakam ibu saudara kanak-kanak itu, sejurus selepas kejadian suspek berjaya ditangkap di lokasi terbabit.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai enam rekod lampau bersabit kes curi telah direman tiga hari sehingga Selasa untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.