X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada penglibatan kroni dalam pelantikan ECK

SANUSI
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menegaskan tiada penglibatan kroni dalam pelantikan ECK Group of Companies (ECK) bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Aerotropolis dan Airport City di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelantikan dibuat berdasarkan keupayaan kewangan syarikat terbabit untuk bersama-sama membangunkan KXP.

Menurutnya, masalah kewangan adalah isu utama dihadapi dalam usaha membangunkan KXP yang mana kos pengambilan tanah sahaja dianggarkan bernilai RM2 bilion.

Katanya, permohonan pinjaman telah dibuat kepada kerajaan Persekutuan sebelum ini tetapi mereka tidak dapat menyediakan peruntukan sebanyak itu.

"Jadi kita ubah perancangan sedikit dengan menawarkan kerjasama kepada Syarikat Sime Darby tetapi kita dapati kerajaan negeri masih perlu mencari RM1 bilion lagi.

"Susulan itu, kita bergerak ke strategi seterusnya dengan mencari syarikat yang ada keupayaan kewangan sebanyak itu," katanya ketika ditemui selepas Program Suntikan Vaksin Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada syarikat berkaitan tetapi tidak ada yang mampu membuktikan keupayaan kewangan melainkan ECK Group of Companies.

"Atas dasar itulah syarikat berkenaan dilantik dengan syarat dalam tempoh enam bulan mereka perlu melengkapkan syarikat bertujuan khas (SPV).

"Tidak ada isu kroni, selepas enam bulan kalau mereka gagal, kita akan lantik syarikat lain dan selepas itu mana-mana syarikat dipelawa untuk menjadi rakan kongsi," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar melalui suatu video mempersoalkan tindakan ECK yang membuat pengumuman menerima kelulusan kerajaan negeri untuk menyertai usahasama bagi membangunkan projek KXP.

Katanya, ia dilihat tidak seiring dengan kelaziman sebelum ini yang sepatutnya diumumkan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu.

Mengulas mengenai dakwaan Mahfuz itu, Muhammad Sanusi berkata, isu berkenaan tidak timbul memandangkan beliau telah membuat pengumuman terlebih dahulu pada 17 Februari lalu.

"Saya telah membuat kenyataan berkaitan sebuah syarikat swasta akan bekerjasama dengan KXP Airport City Holding pada hari berkenaan.

"Keputusan dicapai dalam mesyuarat Exco di mana perbincangan mengenai kertas cadangan itu dibuat pada 10 Februari," katanya.

Tambahnya, beliau juga telah mengumumkan bahawa pengerusi SPV akan dilantik oleh syarikat tersebut dan ECK telah mengumumkan bahawa Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dilantik sebagai pengerusi.

"Tidak ada isu ECK kawal kerajaan negeri, kita masih berkuasa di negeri ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!