Bas Terakhir Malam Raya: Ada penglibatan orang dalam - Eric

Eric (tiga dari kiri) bersama ahli kumpulan Floor 88 dan Irwan (kiri) membuat laporan polis berhubung aktiviti memuat naik secara haram filem Bas Terakhir Malam Raya menerusi platform Youtube di IPD Brickfields pada Rabu. (Gambar kecil: Tangkap layar telemovie filem terbabit di saluran YouTube)
Eric (tiga dari kiri) bersama ahli kumpulan Floor 88 dan Irwan (kiri) membuat laporan polis berhubung aktiviti memuat naik secara haram filem Bas Terakhir Malam Raya menerusi platform Youtube di IPD Brickfields pada Rabu. (Gambar kecil: Tangkap layar telemovie filem terbabit di saluran YouTube)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tidak bertanggungjawab memuat naik karya 'Bas Terakhir Malam Raya' secara tidak sah sedangkan filem itu masih ditayangkan di Astro First dipercayai perbuatan orang dalam.

Pengarahnya, Muhamed Eric Muhamed Fuzi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penglibatan orang dalam pihak produksi telah bertindak memuat naik filem itu secara haram di saluran YouTube.

Dia yang mesra dengan panggilan Eric berkata, filem Bas Terakhir Malam Raya adalah karya pertama Floor 88 Holdings bersama dua produksi lain iaitu Silentkaiju Studio dan Motio Studio.

"Kami tidak menolak kemungkinan perbuatan cetak rompak dan memuat naik filem ini dilakukan oleh orang dalam (kumpulan produksi).

"Ini kerana bahan tayangan secara haram di saluran YouTube itu tidak mempunyai logo Astro First.

"Jika dia mahu ambil daripada siaran Astro First, ia tidak boleh dilakukan. Oleh sebab itu, kami tidak menolak perbuatan terkutuk ini ada melibatkan orang dalam," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield bersama ahli kumpulan Floor 88 dan pengarah bersama filem Bas Terakhir Malam Raya, Irwan Rauf.

Bas Terakhir Malam Raya mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 21 April lalu dan masih dalam tayangan sehingga kini.

Mengulas lanjut, Eric yang juga ahli kumpulan Floor 88 berkata, pihaknya sebelum ini ada mengesan beberapa tindakan memuat naik filem Bas Terakhir Malam Raya secara haram di aplikasi Telegram dan TikTok.

Bagaimanapun katanya, setelah membuat aduan kepada pihak berwajib, filem arahannya di dua saluran media sosial itu berjaya diturunkan.

Menurutnya, perbuatan memuat naik secara haram filem itu sekali lagi berjaya dikesan pada 4 Mei iaitu Hari Wesak di saluran YouTube oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama 'Jari Hantu'.

Menyedari perbuatan haram itu katanya, satu laporan kepada pihak berwajib telah dibuat tetapi ia mengambil masa enam hari untuk diturunkan daripada platform terbabit.

Ekoran itu jelasnya, pihak produksi mengalami kerugian hampir RM2.6 juta sepanjang tempoh ditayangkan secara haram.

"Kerugian ini berdasarkan jumlah tontonan sebanyak 168,000 kali oleh pelayar di platform berkenaan.

"Jika jumlah tontonan itu didarab dengan bayaran langganan sebanyak RM15.90 di Astro First, kami mengalami kerugian bernilai RM2.6 juta," katanya penuh kesal.

Eric berkata, pihaknya amat berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti, seterusnya berjaya menangkap pihak tidak bertanggungjawab terbabit.