X

Kindly register in order to view this article
!

Dividen KWSP cukup baik, amat memuaskan, kata pakar ekonomi

Gambar kecil dari kiri: Ahmed Razman Abdul Latiff, Mohd Afzanizam
A
A

SHAH ALAM – Pakar ekonomi menyifatkan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2020 cukup baik dan amat memuaskan biarpun negara berdepan pelbagai cabaran pasaran sepanjang tahun terbabit.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, KWSP juga masih mampu mengumumkan prestasi dividen yang kompetitif walaupun seluruh dunia mengalami kemelesetan ekonomi global disebabkan pandemik Covid-19.

“Dividen sebanyak 5.2 peratus yang diisytiharkan dianggap amat memuaskan apabila kita melihat cabaran getir yang dihadapi KWSP sepanjang tahun 2020 dari segi kemelesetan ekonomi global dan negara disebabkan pandemik Covid-19.

“Kadar itu juga lebih tinggi dan mengatasi kadar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) iaitu hanya 4.25 peratus tahun lalu dan ia kadar terendah sejak penubuhannya pada tahun 1990.

“Pada masa sama, KWSP diminta menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan membenarkan pencarum mengeluarkan wang caruman mereka melalui i-Lestari dan i-Sinar yang memberi kesan terhadap kecairan KWSP, sekali gus membuatkan KWSP menstrukturkan semula strategi pelaburannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menjangkakan KWSP mampu memberikan kadar dividen lebih tinggi pada masa hadapan kerana negara akan mengalami pemulihan ekonomi yang positif tahun ini dan pasaran global sudah mula menunjukkan pemulihan.

“Apabila program vaksinasi bermula di seluruh dunia, kita sudah melihat pola jangkitan Covid-19 seluruh dunia mulai turun. Ini akan membolehkan ekonomi kembali pesat membangun, sekali gus KWSP dapat mencatat pulangan pelaburan lebih tinggi pada tahun 20212 serta menjanjikan dividen lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dividen KWSP pada tahun 2020 adalah baik memandangkan suasana iklim pelaburan pada tahun lalu sangat meruap.

“Situasi Covid-19 telah menyebabkan kemelesetan ekonomi global selain turun naik harga yang tidak menentu dan kadar yang rendah.

“Justeru, dengan suasana yang tidak menentu ia memerlukan kepakaran yang tinggi serta pengalaman yang luas dalam mengurus portfolio dana pencen yang sememangnya bersifat jangka panjang.

“Penurunan kadar dividen sangat minima dan bagi mereka yang mempunyai baki dalam KWSP sudah pasti dapat menikmati pulangan yang kompetitif,” katanya.

Mengulas sama ada KWSP dapat mengekalkan kadar dividen yang baik pada masa hadapan, beliau berkata, ia bergantung kepada strategi pelaburan yang berdisiplin.

“Pasukan pelaburan perlulah sentiasa mengambil faktor risiko sebelum membuat sesuatu keputusan pelaburan. Selain itu, tadbir urus yang baik seperti barisan ahli panel pelaburan terdiri daripada wakil majikan, pekerja serta ahli profesional yang akan sentiasa menjadi mekanisme periksa dan imbang,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!