'Taiwan Model' perangi Covid-19

A
A
A

TAIWAN merupakan salah satu negara yang berjaya memerangi pandemik Covid-19. Jumlah kes sehingga kini hanya 951 kes dan 906 yang sembuh, manakala kes kematian hanya sembilan orang. Angka itu jauh lebih rendah berbanding Amerika Syarikat (AS) yang sudah mencecah 28.5 juta kes. Apakah rahsia di sebalik kejayaan 'Taiwan Model' mengawal pandemik Covid-19?

Pertama, pengalaman menghadapi wabak penyakit Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) pada 2003 telah memberi pengajaran kepada Taiwan untuk menghadapi penyakit berjangkit. Ketika berdepan penyakit SARS, kerajaan Taiwan telah menubuhkan Pusat Kawalan Kesihatan Kebangsaan atau National Health Command Center (NHCC) yang terdiri daripada kakitangan pelbagai kementerian berkaitan dengan kesihatan awam bagi mengkoordinasi usaha mengatasi SARS.

Rintihan daripada pengalaman menghadapi SARS, Taiwan mempunyai sistem pengawasan penyakit yang berkesan untuk memantau berlakunya wabak dan mampu memberi respons segera. Apabila sistem pengawasan penyakit dapat mengesan sebarang kes wabak penyakit, maka ia akan melaporkan kepada Pusat Kawalan Penyakit atau Centers for Disease Control (CDC) untuk bertindak.

Kedua, prinsip Taiwan adalah ‘tidak memandang rendah musuh (penyakit), bersiap sedia yang paling teruk’. Sejurus menerima berita mengenai wabak Covid-19 di Wuhan, China melalui internet pada 31 Disember 2019, CDC Taiwan telah mengambil tindakan segera mengawal sempadan, khasnya mereka yang pergi dan balik dari Wuhan.

Dalam tempoh kurang sebulan pada 21 Januari 2020, kerajaan Taiwan telah mengeluarkan notis perjalanan ke tahap ‘amaran’ kepada penduduk untuk mengelak perjalanan ke Wuhan. Walaupun ketika itu kes Covid-19 di dunia masih peringkat permulaan tetapi kerajaan Taiwan telah bertindak cepat.

Ketiga, ketulusan dan kepantasan pengesanan. Taiwan telah bertindak untuk mengesan pesakit Covid-19 supaya pandemik dapat dikawal. Taiwan tidak menjalankan ujian saringan besar-besaran tetapi warganegara dan pelawat telah diarah untuk segera menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja mempunyai simptom.

Taiwan juga mempunyai Sistem Insuran Kesihatan Kebangsaan yang memudahkan penduduk membayar kos ujian dan data pesakit Covid-19 senang diperoleh. Pada 20 Januari 2020, kerajaan Taiwan dengan segera menubuhkan Pusat Kawalan Wabak Penyakit atau Central Epidemic Command Center (CECC) bagi menyeleraskan usaha membendung penularan Covid-19.

CECC telah melancarkan kempen ‘New Lifestyle for Epidemic Prevention’ bertujuan menyedarkan orang ramai pentingnya pemakaian topeng muka, penjarakan sosial dan gaya hidup sihat seperti sentiasa mencuci tangan. CECC juga sentiasa menyalurkan informasi terkini kepada penduduk Taiwan berhubung situasi pandemik. Adakala CECC mengadakan sidang media tiga kali sehari.

Artikel Berkaitan:

Keempat, kerjasama antarabangsa. Usaha domestik sahaja tidak mampu membendung pandemik dengan berkesan. Oleh itu, Taiwan telah bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, misalnya bekerjasama dengan Malaysia, Jepun, Singapura dan AS untuk proses membawa pulang warganegara masing-masing.

Apabila situasi di Taiwan sudah stabil dan terkawal, Taiwan telah menyumbang peralatan perubatan seperti temometer automatik, topeng muka, alat perlindungan diri, hydroxychloroquine dan katil hospital kepada 80 negara penerima di rantau Amerika Latin, Asia Barat, Afrika, Amerika Utara dan Eropah.

Kelima, semangat solidariti untuk mengatasi Covid-19. Kerajaan Taiwan bersama badan bukan kerajaan seperti syarikat perniagaan telah mempergiatkan pengeluaran topeng muka sehingga Taiwan menjadi pengeluar topeng muka kedua besar di dunia. Usaha juga dilakukan supaya semua penduduk Taiwan mampu memperoleh topeng muka dengan mudah dan selamat.

Penyelidikan juga dijalankan oleh insitusi penyelidikan seperti Academia Sinica dan National Health Research Institute (NHRI) untuk menghasil penawar Covid-19. Ramai warga Taiwan yang tampil sebagai sukarelawan.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Taiwan dan mengiktiraf Republik Rakyat China (RRC) melalui Dasar Satu China, namun kejayaan 'Taiwan Model' boleh menjadi iktibar kepada Malaysia dalam usaha memerangi Covid-19 tanpa mengira ideologi politik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya