10 langkah belanja duit i-Sinar

Pencarum perlu menentukan apa tujuan pengeluaran i-Sinar dibuat dan ia perlu dibelanjakan mengikut keutamaan. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
Pencarum perlu menentukan apa tujuan pengeluaran i-Sinar dibuat dan ia perlu dibelanjakan mengikut keutamaan. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai cara boleh digunakan oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi manfaatkan wang yang dikeluarkan menerusi skim i-Sinar supaya tidak melakukan sebarang pembaziran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kaedah perbelanjaan wang itu diumpamakan seperti membawa air dalam baldi kerana jika tidak dibawa dengan betul, air akan tumpah.

Menurutnya, sekiranya tidak dibelanjakan wang tersebut dengan betul ia akan menyebabkan kerugian sangat besar kepada pencarum kerana seperti yang diketahui wang itu sepatutnya dibelanjakan selepas persaraan.

Justeru, beliau berkata, pencarum perlu menentukan apa tujuan pengeluaran i-Sinar dibuat dan ia perlu dibelanjakan mengikut keutamaan.

"Pertama, perkara yang menjadi keutamaan adalah melangsaikan hutang terutama hutang kad kredit. Peratus pembiayaan atau kadar faedah hutang kad kredit yang tinggi iaitu sebanyak 18 peratus akan menyebabkan pencarum terpaksa bayar faedah semakin tinggi seandainya hutang lambat dibayar.

"Kedua, wang itu juga boleh digunakan untuk berniaga. Dengan jumlah wang i-Sinar yang diterima itu, ia mesti disesuaikan dengan saiz perniagaan kita," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modal yang dikeluarkan untuk peringkat awal tidak seharusnya lebih separuh daripada wang i-Sinar yang diterima.

Dengan modal itu, katanya, pencarum boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan terutama perniagaan yang bersifat 'universal' seperti menjual makanan.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya kalau kita dapat RM10,000, jangan habiskan semua sebagai modal. Paling tinggi boleh gunakan sebanyak RM5,000 dan selebihnya simpan untuk kegunaan lain.

"Ketiga, wang i-Sinar juga boleh dibelanjakan untuk kita mengambil kursus untuk menceburi bidang yang disukai," katanya.

Memperincikan perkara itu, Mohd Afzanizam menjelaskan, kemahiran yang diperoleh itu boleh membantu pencarum memulakan langkah untuk menjana pendapatan sampingan.

"Sekarang banyak agensi kerajaan menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang perlu direbut. Yuran yang dikenakan juga berpatutan.

"Bahkan saya sendiri turut mengambil kursus di Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) untuk tambah kemahiran kerana kita tidak tahu bila pandemik Covid-19 ini benar-benar akan berakhir.

"Tidak salah kita belanjakan sedikit wang i-Sinar itu untuk tambah kemahiran dan pengetahuan seterusnya ia dapat bantu kita memperoleh pendapatan dari sumber lain," katanya.

Beliau berkata, cara keempat adalah menyimpan atau menambah pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Menurutnya, ASB memiliki ciri pelaburan yang unik iaitu berisiko rendah dan mempunyai tahap kecairan yang tinggi iaitu membolehkan pencarum mengeluarkan semula wang ketika diperlukan.

"Kelima, wang i-Sinar juga boleh digunakan untuk membeli barang keperluan pendidikan seperti peranti pintar yang sesuai dengan pendidikan norma baharu sekarang.

"Walaupun kelas dibuat secara bersemuka pun, peranti juga tetap diperlukan," katanya.

Pelbagai cara boleh digunakan oleh pencarum KWSP bagi manfaatkan wang yang dikeluarkan menerusi skim i-Sinar.
Pelbagai cara boleh digunakan oleh pencarum KWSP bagi manfaatkan wang yang dikeluarkan menerusi skim i-Sinar.

Cara keenam, katanya, pencarum boleh menggunakan wang i-Sinar itu sebagai tabung kecemasan.

Jelas beliau, pengalaman melalui waktu-waktu sukar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu menunjukkan betapa pentingnya setiap keluarga memiliki tabung kecemasan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Jadi kalau kita dapat RM10,000 duit i-Sinar, kita kena pastikan kita kena menyimpan sebanyak 30 peratus daripadanya untuk beri kelegaan kepada kita pada masa depan.

"Cara ketujuh, kita juga boleh melabur dengan pembelian emas sekiranya mahu membuat pelaburan untuk jangka masa panjang," katanya.

Kaedah kelapan pula, menurutnya, duit i-Sinar itu juga boleh hanya digunakan untuk menampung kos sara hidup untuk satu jangka masa yang ditetapkan.

"Cara kesembilan, wang itu juga boleh digunakan untuk membeli barang keperluan kerja seperti komputer riba kerana ketika ini ramai yang terpaksa bekerja dari rumah.

"Cara terakhir pula ialah dengan membeli barang peribadi yang bermanfaat sebagai ganjaran kepada diri sendiri. Ia boleh digunakan dalam kadar atau amaun yang munasabah dan tidak membazir," katanya.

Beliau berkata, ia adalah satu cara untuk memberi motivasi kepada diri lebih-lebih lagi keadaan pandemik sekarang memberi banyak tekanan kepada semua orang.

INFO

10 perkara yang dilakukan dengan wang i-Sinar

1) Bayar hutang

2) Berniaga

3) Simpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)

4) Beli barang keperluan pendidikan

5) Sediakan tabung kecemasan

6) Ambil kursus persediaan

7) Beli emas

8) Tampung kos sara hidup

9) Beli barang keperluan kerja

10) Beli barang peribadi