Kanak-kanak lemas mandi sungai, seorang lagi hilang

Seorang kanak-kanak ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas terjatuh dalam Sungai Skudai berhampiran Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru pada Sabtu.
Seorang kanak-kanak ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas terjatuh dalam Sungai Skudai berhampiran Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang dalam Sungai Skudai berhampiran Taman Ungku Tun Aminah di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian pada jam 6.17 petang, kedua-dua kanak-kanak tersebut dikatakan mandi di Sungai Skudai sebelum tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal berkata, seorang daripadanya ditemukan lemas pada jam 8.58 malam.

"Kerja-kerja mencari seorang lagi kanak-kanak masih diteruskan sehingga malam ini. Identiti kedua-dua kanak-kanak tersebut masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau, seramai tujuh anggota berserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian susulan panggilan kecemasan diterima.

Sementara itu, seorang saksi, Nalsen Manggatang, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang menjala ikan di bawah jambatan sungai berkenaan sebelum menyedari ada kelibat tangan terkapai-kapai meminta tolong.

"Saya memang menjala ikan di kawasan Sungai Skudai ini. Ketika menjala saya terkejut kerana ternampak kelibat dua kanak-kanak dalam sungai terkapai-kapai.

"Saya terus terjun ke dalam sungai untuk cuba menyelamatkan mangsa tetapi apabila sampai di tengah sungai, saya sudah kehilangan nafas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Nalsen berkata, selepas itu dia turut meminta pertolongan daripada orang awam lain yang kebetulan melalui kawasan tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan.