X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk hampa ikan patin dah jadi bangkai

Orang ramai mengunjungi kolam yang dipenuhi dengan bangkai ikan patin. Bangkai ikan di kolam yang telah ditambak di Taman Putra Impiana, Puchong.
A
A

PUCHONG - Hasrat ratusan penduduk sekitar untuk membawa pulang ikan patin segar dari kawasan talian pencawang di Taman Putra Impiana di sini, berakhir dengan kekecewaan apabila mendapati ribuan ikan itu sudah menjadi bangkai.

Video yang memaparkan ribuan ikan patin di kolam tersebut tular sejak Jumaat itu menarik perhatian orang ramai ke lokasi tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati walaupun ribuan ikan terbabit sudah mati, namun orang ramai masih keluar masuk di kawasan berkenaan sehingga jam 7 petang pada Sabtu.

Salah seorang pengunjung ke lokasi yang ingin dikenali sebagai Hafizi berkata, dia dan rakannya ke lokasi terbabit selepas menonton video tular tersebut.

Begitupun, dia mendakwa kecewa setelah mendapati ikan-ikan terbabit sudah menjadi bangkai.

"Saya hampa kerana semua ikan itu dah mati, patutnya sedekahlah ikan itu kepada orang ramai masa masih hidup.

"Benda ni diuar-uarkan kepada orang ramai, jadi kasihan jugalah yang datang sini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Sham berkata, dia yang kebetulan berada di rumah ibu mentua di Kampung Lombong, Shah Alam, terus bergegas ke sini setelah menonton video tular tersebut.

Ribuan bangkai ikan patin di kolam yang telah ditambak di Taman Putra Impiana, Puchong.
Ribuan bangkai ikan patin di kolam yang telah ditambak di Taman Putra Impiana, Puchong.

Katanya, dia yang turut membawa tong untuk mengisi ikan berbabit terpaksa pulang dengan hampa.

"Saya bawa tong ini dengan harapan nak bawa balik ikan, sebab tengok banyak ikan dalam video itu.

"Tapi rupanya dah mati, tapi tak apalah," katanya.

Sementara itu, pekebun di tanah berkenaan yang dikenali sebagai Saslim berkata, terdapat empat kolam ikan di atas tanah seluas 0.5 hektar berkenaan.

Menurutnya, kolam ikan terbabit terpaksa ditutup kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Sejak ditambak dua hari lalu, kita dah bawa keluar kira-kira 20 lori berisi ikan tersebut.

"Disebabkan kekurangan pekerja untuk membawa kesemua ikan-ikan tersebut, kami buka kepada orang ramai untuk ambil ikan itu secara percuma," katanya.

Bagaimanapun, katanya ikan tersebut mati apabila kolam berkenaan ditambak tanah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!