'Saya memang macam ini, kalau tak dah jadi Mursyidul Am Pas'- Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui perwatakannya yang lantang bersuara dan tegas pendirian menyebabkan beliau dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Beliau berkata, perwatakannya adalah sifat semula jadi dalam dirinya dan bukannya lakonan atau sengaja dibuat-buat untuk meraih populariti.

“Saya memang watak macam itu. Sebab itu mereka (Pas) bagi saya jadi Pengarah Pilihan Raya. Kalau tidak, tentu mereka bagi saya jadi Mursyidul Am Pas.

“Kalau saya seperti yang mereka (parti lawan) kehendaki, tentu saya jadi Mursyidul Am dengan watak baik saja, tunduk dan apa pun tak kata pada orang. Watak (saya) asli macam tu, orang Kedah kan dengan bahasa Kedah,” katanya di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berharap masyarakat memahami watak-watak yang dibawa oleh beliau sama ada berperanan sebagai pemimpin politik atau Menteri Besar.

“Watak-watak di media sosial atau di mana-mana itu adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti atau fungsi sebagai Menteri Besar.

“Tugas saya sebagai Menteri Besar beza dengan tugas saya sebagai Pengarah Pilihan Raya. Ucapan dalam ceramah kempen pilihan raya itu sebagai Pengarah Pilihan Raya, ada bezanya. Sebab kita diletakkan pada batang tubuh yang sama dengan beberapa fungsi dan memakai beberapa topi dan kasut,” jelasnya.

Muhammad Sanusi turut menafikan bersikap berlebih-lebihan ketika di pentas ceramah menyebabkan tindakannya itu terpalit pada jawatan yang disandang selaku ketua kerajaan.

“Saya tak ada berlebihan, saya memang macam itu. Saya bukan ada salah apa, hanya salah bersaing dalam arena politik, yang saya ucap dalam ceramah itu boleh dijawab dalam ceramah balik. Saya tak panas, saya steady saja.

“Saya tengok ceramah pilihan raya Perdana Menteri pun sakan juga, ada keluar macam-macam perkataan. Saya tak ambil itu sebagai ucapan Perdana Menteri tetapi ucapan Presiden parti beliau ketika kempen pilihan raya,” ujarnya lagi.

Menurutnya, peranan sebagai Menteri Besar dipatuhi berlandaskan garis panduan seperti termaktub dalam sumpah perjawatan.

“Saya tak ada buat ucapan di luar tata susila seorang pemimpin negeri apabila saya memakai kasut Menteri Besar. Kalau diambil kerja saya yang lain letak dalam kasut Menteri Besar, itu tidak adil.

“Masa saya pakai topi Pengarah Pilihan Raya, ucapan kita daripada parti yang bertembung, bersaing dalam sistem demokrasi tentulah menunjukkan kebaikan parti kita dan kelemahan lawan,” tegasnya.

Beliau percaya semua parti politik melakukan pendekatan yang sama mengikut peranan masing-masing.

“Tiga lagi Menteri Besar Pas tak ada jawatan macam saya. Menteri Besar Perlis sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, Menteri Besar Kelantan dilantik Timbalan Mursyidul Am dan Menteri Besar Terengganu selaku Naib Presiden.

“Saya adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, fungsi saya dengan mereka berbeza. Jika diambil ucapan dan tindakan saya berdasarkan jawatan itu yang bersaing dalam medan politik dibawa dan letak dalam kasut Menteri Besar, itu penilaian yang tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” jelasnya.