Sempadan diperketat halang 15 penyerang Thailand masuk Malaysia

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

JELI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan 15 individu yang terlibat dalam insiden letupan bom paip dan berbalas tembakan di Kampung Ra-ngae, Narathiwat, Thailand pada Jumaat lalu akan menyelinap masuk ke negara ini menggunakan 'laluan tikus' di kawasan sempadan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kawalan sempadan akan terus diperketatkan dari masa ke masa bagi memastikan kesemua suspek tidak berjaya meloloskan diri ke negara ini.

"Kita akan berkerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berdepan sebarang kemungkinan ini," katanya.

Menurutnya, peruntukan kuasa yang diberikan kepada ATM ketika ini menjadikan kawalan sempadan negara menjadi lebih kukuh.

Beliau berkata, arahan penugasan untuk memperketatkan kawalan sentiasa diberikan kepada anggota PDRM yang melakukan penugasan menerusi Ops Benteng Covid-19.

Akhbar Thailand pada Jumaat melaporkan dua anggota renjer maut, manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah dalam kejadian letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand.

Dalam kejadian pada jam 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan tersebut dikejutkan dengan beberapa letupan.

Sekumpulan individu kemudian mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

Artikel Berkaitan:

Insiden berbalas tembakan antara renjer dan kumpulan penyerang berlanjutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan penyerang beredar dari tempat kejadian.

Seorang renjer meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Ra-ngae.

Sementara itu, seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.