X

Kindly register in order to view this article
!

Prestasi pasaran, program vaksin penentu kadar dividen KWSP

Pejabat KWSP
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2021 akan ditentukan oleh faktor seperti prestasi pasaran, pelaksanaan program pemberian vaksin serta imuniti global terhadap Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias menyifatkan terlalu awal untuk membuat sebarang unjuran berkaitan pada masa ini berikutan 2021 masih di peringkat awal.

“Kami perlu melihat bagaimana prestasinya bagi tempoh berbaki tahun ini. Persekitaran pasaran masih tidak menentu ketika ini,” katanya dalam sesi soal jawab secara maya selepas pengumuman prestasi kewangan KWSP bagi 2020 di sini, pada Sabtu.

Dana persaraan itu mengumumkan dividen pada kadar 5.20 peratus bagi Simpanan Kovensional dan 4.90 peratus bagi Simpanan Shariah bagi 2020.

Dividen terbabit adalah rendah berbanding masing-masing pada kadar 5.4 peratus untuk Simpanan Konvensional manakala Simpanan Shariah pada 5.0 peratus pada 2019.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri berkata, pelaksanaan program pemberian vaksin yang telah dilancarkan mempunyai kaitan penting dengan prospek tahun ini namun KWSP tetap berhati-hati memandangkan kewujudan strain Covid-19 yang baharu dan lebih mudah merebak.

“Bagaimanapun, kami percaya situasi kini sudah mula terkawal dengan kerajaan setiap negara berusaha memastikan rakyat mereka mendapat vaksin selancar mungkin.

“Bahkan di Malaysia, kelompok pertama vaksin telah sampai dan dalam proses pengagihan,” katanya.

Ahmad Badri turut memberi jaminan bahawa KWSP yang sudah menjangkau usia 70 tahun dan menjadi antara institusi dana persaraan tertua di dunia, akan tetap memberi tumpuan kepada mandatnya untuk membantu ahli mencapai simpanan mencukupi untuk persaraan yang mampan.

“KWSP juga akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau Takaful, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. Skim ini dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai skim dividen berperingkat, Alizakri berkata aspek itu mempunyai struktur yang kompleks berbanding skim sedia ada yang menawarkan dividen yang sama untuk semua ahli.

“KWSP harus mengadakan libat urus dengan ahli mengenai idea itu dan mereka boleh memberi pandangan mengenai dasar dividen secara berterusan,” katanya.

Pengumuman pada Sabtu merupakan yang terakhir bagi Alizakri memandangkan beliau akan digantikan oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang telah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif berkuat kuasa pada 1 Mac, 2021.

- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!