ABM: BAM harap rundingan secepat mungkin

Mohamad Norza Zakaria. - Foto Bernama
Mohamad Norza Zakaria. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) berharap untuk memulakan proses rundingan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai hala tuju Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya mahu mengadakan rundingan secepat mungkin bagi merealisasikan matlamat utama pembinaan akademi tersebut, iaitu untuk mewujudkan pusat berprestasi tinggi bertaraf dunia.

“Mengikut perbincangan awal, pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang berumur 13-18 tahun akan dipindahkan ke ABM dan duduk bersama-sama pemain elit dan pelapis.

“Menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, mereka akan mengikuti pembelajaran di ABM. Perbincangan itu diadakan pada 2017 dan 2018, yang menghasilkan bajet RM16 juta itu.

“Jadi kita telah mohon KBS, di bawah menteri baharu (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) supaya membantu kita mendapatkan peruntukan tersebut supaya boleh mengendalikan akademi itu seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan bahawa operasi ABM tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana peruntukan sebanyak RM16 juta bagi tempoh 2019-2020 yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu belum dibayar oleh kerajaan sekarang.

ABM yang siap dibina pada awal tahun lepas dengan kos RM31 juta dengan pelbagai kemudahan, tidak boleh dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Sementara itu, Mohamad Norza yang juga presiden MOM, berkata atlet-atlet dari sukan yang tiada persatuan kebangsaan atau persatuan itu bukannya ahli gabungan MOM, masih berpeluang menyertai Sukan SEA 2019 di Filipina bermula November ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohamad Norza berkata atlet atau persatuan terlibat perlu menyatakan minat mereka kepada MOM, selain memenuhi kriteria jawatankuasa pemilihan yang dianggotai beliau sendiri serta wakil dari Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara antara yang lain.

“Kita akan kumpul minat mereka dan akan membincangkan apabila tiba masanya. Kita juga akan menentukan dalam kategori apa mereka akan bertanding, di mana kedudukan empat teratas Sukan SEA bagi Kategori A (dibiayai sepenuhnya) dan kedudukan enam teratas bagi Kategori B.

“Selepas belajar daripada pengalaman lepas, kita hanya mahu hantar atlet yang berkelayakan, bukannya tangkap muat kerana ia melibatkan imej negara. Bagaimanapun, untuk Sukan SEA, kita mungkin pertimbangkan untuk melonggarkan syarat kerana Sukan SEA lebih kepada pembangunan dan persahabatan,” katanya.

Antara sukan yang tidak ada persatuan atau bukan ahli gabungan MOM ialah hoki dalam air, sambo, kurash, arnis, floorball dan e-Sports. - Bernama