X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal hadiri temu janji suntikan vaksin boleh dikenakan tindakan

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu yang gagal menghadiri temu janji tarikh pemberian suntikan vaksin Covid-19 tanpa sebarang alasan kukuh bakal berdepan dengan tindakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berharap semua rakyat boleh mematuhi tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

"Sebenarnya tindakan boleh diambil seperti negara lain, contohnya kalau mereka 'cut queue' untuk vaksin akan dikenakan denda dan sebagainya," katanya pada sesi libat urus Darurat Covid-19 bersama media secara dalam talian pada Jumaat.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Norhuda Mohd Tajuddin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Dr A Maheshwara Rao.

Program siri keempat itu dihoskan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Dr Noor Hisham berkata, kegagalan mematuhi tarikh temu janji tersebut boleh menyebabkan pembaziran vaksin berlaku.

"Setiap vaksin Covid-19 yang telah dicairkan perlu digunakan dalam tempoh enam jam," jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan untuk memberikan dos vaksin individu yang gagal hadir temu janji kepada individu lain.

"Ini mengelakkan pembaziran berlaku. Mungkin kita akan berikan kepada petugas kesihatan atau individu lain yang dalam senarai menunggu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, individu yang mempunyai sebarang gejala selepas menerima vaksin Covid-19 perlu melaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di laman sesawang www.npra.gov.my dan aplikasi MySejahtera.

"Vaksin ini adalah selamat dan selepas 48 jam disuntik Comirnaty, saya juga tidak mengalami sebarang gejala," katanya.

Dalam pada itu, Dr Maheshwara ketika pembentangan Modul Vaksinisasi MySejahtera berkata, individu akan menerima notifikasi daripada MySejahtera pada tujuh hari sebelum tarikh suntikan.

"Saringan akan dilakukan terhadap mereka," kata beliau.

Menurutnya, sekali lagi pada tiga hari sebelum tarikh suntikan vaksin, individu berkenaan turut menerima notifikasi.

"Di sini pengguna MySejahtera boleh memastikan boleh hadir pada tarikh yang telah ditetapkan. Jika tidak boleh hadir pada tarikh itu, mereka boleh penjadualan semula temu janji," katanya.

Beliau berkata, sijil digital berwarna putih akan diberikan kepada individu yang telah mengambil dos pertama.

"Mereka yang telah melengkapkan kedua-dua dos akan diberikan sijil digital berwarna kuning selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Dr Maheshwara selain itu berkata, setakat jam 3 petang pada Jumaat, seramai 1.65 juta pengguna MySejahtera telah mendaftar diri sebagai penerima vaksin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!