X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai Imigresen didenda RM40,000, penjara 30 hari

Tertuduh (kanan) tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Seremban diiringi pegawai SPRM pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai Imigresen yang ditahan dalam Ops Selat sebelum ini dijatuhi hukuman denda RM40,000 dan penjara 30 hari oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,100 pada tahun 2019 dan 2020.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, mengaku bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu Pegawai Imigresen Gred KP19 telah menerima wang keseluruhan berjumlah RM2,100 daripada seorang individu yang mana tertuduh mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai pada 7 Julai 2019 dan antara 22 Mac hingga 19 Mei 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dibayar akan dipenjara enam bulan, serta penjara selama 30 hari bagi kedua-dua pertuduhan yang dijalankan secara serentak.

Mahkamah juga membenarkan melucut hak pelbagai aset berjumlah RM1,209,380.65 ke atas tertuduh termasuk wang tunai, empat buah kereta dan barang kemas.

Pada 26 Januari lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950.

Bagaimanapun, mahkamah pada Jumaat memerintahkan enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, digugurkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan tertuduh diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!