994 kes kebakaran terbuka di Selangor sejak Januari

994 kes kebakaran terbuka dikesan di Selangor sejak awal Januari lalu.
994 kes kebakaran terbuka dikesan di Selangor sejak awal Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 994 kes kebakaran terbuka direkodkan di Selangor sejak awal Januari sehingga 24 Februari tahun ini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kebanyakan kejadian kebakaran itu melibatkan lokasi hutan gambut, kebun, belukar dan kawasan lalang.

Selain itu katanya, pembakaran di lokasi tapak sampah haram turut menjadi faktor penyumbang kepada kejadian kebakaran terbuka di negeri ini.

"Untuk rekod, sebanyak 225 kejadian kebakaran di tapak sampah dicatatkan sejak awal Januari lalu.

"Kita turut terima panggilan kecemasan berkaitan kejadian melibatkan pembakaran sampah yang dibakar secara sengaja ataupun tidak," katanya pada sidang media selepas Program Kempen Sanitasi Awam@Kampus Management Science and University (MSU), di sini pada Jumaat.

Hadir sama bagi menyempurnakan program tersebut ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, kejadian kebakaran terbaharu yang berlaku adalah melibatkan dua lokasi iaitu di Kompartment 27 serta 38 Hutan Simpan Kuala Langat dan bersebelahan Lebuhraya Elite Saujana Putra.

Beliau berkata, buat masa ini, kerja-kerja pemadaman di dua lokasi terlibat masih dijalankan oleh anggota JBPM.

Artikel Berkaitan:

"Di dua lokasi kebakaran terbuka ini, kita telah tempatkan sekitar 100 anggota bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman," katanya.

Mengulas mengenai pemberian vaksin Covid-19 kepada anggota JBPM Selangor, Norazam berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung perkara itu.

Untuk pemberian vaksin fasa pertama ini, Norazam berkata, lebih 900 daripada 1,700 anggota JBPM di negeri ini akan diberi suntikan berkenaan.