Laluan sepanjang Jalan TAR ditutup kepada kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac

- Foto TripAdvisor
- Foto TripAdvisor
A
A
A

PUTRAJAYA - Laluan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di Kuala Lumpur dari Kompleks Membeli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Penutupan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan tersebut, katanya.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan tersebut di mana sebahagian besar responden bersetuju dengan cadangan itu.

"Kita berhasrat menjadikan laluan bermula dari hadapan Sogo sehingga ke Wisma Bandar sebagai laluan bebas kenderaan atau pedestrian mall di mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah," katanya pada sidang media selepas majlis Bicara Makan Tengahari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Jika keadaan berjalan lancar, beliau berkata pihaknya sedia untuk menempatkan peniaga bazar perayaan yang memohon lesen berniaga di Jalan TAR dari DBKL untuk beroperasi di sepanjang laluan yang dikosongkan itu pada bulan Ramadan akan datang.

Beliau berkata laluan yang boleh menempatkan sehingga 200 lot tapak perniagaan itu juga akan dibenarkan untuk beroperasi pada musim perayaan lain.

"Kita sedang memperincikan susun atur peniaga, namun yang pasti keputusan ini akan memberikan kelegaan kepada semua pihak kerana dapat menjalankan perniagaan di kawasan yang lebih luas dan selesa.

"Penempatan hanya melibatkan mereka yang memohon lesen untuk berniaga semasa bulan Ramadan manakala peniaga sedia ada akan dikekalkan di tapak asal," katanya.

Khalid berkata keputusan itu juga diambil bagi menjaga kepentingan kedai-kedai Melayu di kawasan tapak lama bazar Ramadan yang mana perniagaan mereka terhalang sepanjang bazar perayaan itu berlangsung.

Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beberapa individu dari Bahagian Perolehan DBKL telah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kebocoran senarai syarikat yang berjaya memperoleh kontrak pembersihan sungai seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan secara dalaman juga telah diambil di mana Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan mengarahkan seramai 20 orang kakitangan di bahagian itu dipindahkan ke bahagian lain secara berperingkat dalam tempoh sebulan.

Khalid melahirkan kehairanan bagaimana maklumat daripada mesyuarat Lembaga Perolehan pada 25 Januari lepas itu boleh tular sehari kemudian sedangkan makluman kepada syarikat dan kontraktor yang berjaya dalam tender secara individu hanya dibuat DBKL melalui panggilan telefon.

"Ini yang dikatakan ada tangan ghaib yang cuba mengawal DBKL memandangkan tiada sebarang makluman atau paparan di mana-mana tempat awam telah dibuat mengenai keputusan itu," katanya. - Bernama