X

Kindly register in order to view this article
!

Usaha bersepadu perlu untuk kehidupan lestari: PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha bersepadu membabitkan semua pemegang taruh, kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan orang awam diperlukan bagi menambah baik dan mempermudah kehidupan lestari.

Beliau berkata, perindustrian di Malaysia perlu dilaksanakan secara mesra alam sekitar menerusi pendekatan penggunaan dan pengeluaran yang mampan.

“Menerusi sokongan anda, saya yakin kita dapat mencapai kemajuan bermakna secara bersama sebagai sebuah negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Hibiscus Perdana Menteri 2019/2020 yang diadakan secara maya di sini malam Khamis.

Mengenai cabaran bagi negara dalam mempertahankan kelestarian alam sekitar sejak penularan pandemik Covid-19, beliau berkata wujud sedikit kelegaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan rakyat Malaysia menikmati persekitaran lebih sihat termasuk udara yang lebih bersih.

Namun katanya amalan norma baharu menyumbang kepada isu baharu alam sekitar dari segi pelupusan pelitup muka yang dibuat secara sewenang-wenangnya serta peningkatan ketara penggunaan bekas plastik bagi membungkus makanan dibawa balik.

“Inisiatif alam sekitar menjadi kurang penting disebabkan perkara-perkara itu. Justeru, cabaran bagi kita sekarang ialah memulihkan kembali kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan persekitaran,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada 2020 juga masalah pencemaran sungai semakin buruk, menyebabkan gangguan bekalan air yang kerap sehingga menjejaskan isi rumah dan sektor perniagaan khususnya di Lembah Klang, disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sisa industri ke dalam sungai.

Sehubungan itu katanya, kerajaan sedang menyemak semula kompaun dan penalti yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pesalah.

Selain itu, Belanjawan 2021 juga menyediakan beberapa peruntukan di bawah strategi keempat iaitu Menjamin Kelestarian Sumber yang bertujuan memastikan semua keputusan berkaitan alam sekitar seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Antara peruntukan itu ialah RM20 juta di bawah Dana Amanah Malaysia-SDG dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menyelaraskan secara sistematik pembiayaan daripada institusi awam dan swasta bagi memastikan SDG tercapai pada 2030.

“Kerajaan juga menyokong kerjasama dwipartisan untuk menyetempatkan program SDG menerusi peruntukan berjumlah RM5 juta kepada All-Party Parliamentary Group Malaysia on SDGs," katanya.

Selain itu, pengecualian cukai pendapatan bagi geran sukuk hijau Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (SRI) dilanjutkan hingga 2025 bagi menggalakkan terbitan produk dan bon SRI.

Kerajaan juga meneruskan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 menerusi peruntukan dana berjumlah RM2 bilion untuk tempoh dua tahun hingga 2022.

“Ini akan memberikan peluang baik, khususnya kepada syarikat yang merancang untuk melabur dalam teknologi hijau,” kata Muhyiddin.

Penyampaian Anugerah Hibiscus Perdana Menteri yang pertama kali diadakan secara maya itu bertujuan mengiktiraf pencapaian pemain industri yang membuktikan mereka mampu memulihara alam sekitar sekalipun berdepan cabaran akibat ketidaktentuan ekonomi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!