Komedi seram tema anti dadah

No Image Caption
A
A
A

UMUM sedia tahu, masyarakat kita sememangnya menggemari cerita atau pun karya yang berunsurkan komedi seram. Bukan sahaja di layar lebar, tetapi juga di kaca TV, di mana karya-karya dari genre sebegini sering berjaya menarik perhatian penonton tidak kira peringkat umur.

Menyedari kecenderungan itu, Atlas One Events Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk mementaskan sebuah teater komedi seram, Dari Cherok Tok Kun ke Gombak.

Apa yang menariknya, teater arahan Hasrol Hisham Mohd Hassan ini mengetengahkan tema anti dadah dalam usaha untuk terus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya najis dadah kepada generasi hari ini dan akan datang.

Meski tampil dengan tema yang agak berat, namun naskhah ini akan disampaikan dengan cara yang lebih santai dan ringan menerusi elemen-elemen komedi yang akan menjadi tonggak pementasan.

Justeru barisan pelawak tanah air yang terdiri daripada Ropie, Bell Ngasri, Mamak Putih, Ali Puteh, Abu Mamu, Abang Gee, Lanun dan kumpulan Kiut dilihat sebagai gandingan terbaik untuk menjayakan pementasan ini.

Turut menarik perhatian adalah penampilan penyanyi popular Azharina Azhar yang buat pertama kalinya beraksi di pentas teater, selain kakak kepada ratu rock Ella iaitu Jojie, Wan Raja dan penyanyi baharu, Dylea.

Apa yang pasti pementasan ini bakal membawa kelainan kepada penonton menerusi pelbagai elemen dan kreativiti yang disatukan dalam naskhah yang cukup menghiburkan ini.

Teater turut mendapat kerjasama daripada Resdongs Entertainment dan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT bersama sama rakan strategik iaitu Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu & Warisan, Pemadam Selangor, Pemadam Pulau Pinang dan FUFC The Fighters.

Artikel Berkaitan:

Naskhah Dari Cherok Tok Kun ke Gombak ini mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Cherok Tok Kun, Pulau Pinang telah menerima jemputan untuk mengadakan satu persembahan Boria di Gombak Selangor, sempena majlis menyambut kumpulan delegasi dari Jepun.

Mereka cuba sedaya upaya, untuk membuat persiapan dan latihan dengan sebaiknya walaupun dalam masa yang suntuk iaitu kira-kita dua minggu sebelum majlis berlangsung. Namun sepanjang proses tersebut, pelbagai masalah yang telah mereka hadapi.

Tukang Karang (penyanyi utama Boria) mereka adalah penagih dadah dan mempunyai masalah disiplin. Malah dalam pada masa yang sama, tempat latihan mereka juga sering diganggu dengan kehadiran makhluk halus.

Demi memastikan persembahan berjalan lancar, kumpulan ini perlu cekal dan saling bantu membantu di antara mereka agar persefahaman ini membawa muafakat dan seterusnya kejayaan.

Pementasan teater Dari Cherok Tok Kun ke Gombak ini akan berlangsung di Royale Teater Shah Alam pada 22 dan 23 Mac 2019, pukul 8.30 malam.

Tiket masuk boleh diperoleh dengan harga RM60 dan RM120 dan kini telah pun dijual kepada umum. Untuk mendapatkan informasi lanjut berkenaan tiket, boleh layari www.atlasoneevents.com.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!