X

Kindly register in order to view this article
!

Mualaf dakwa dipinggir keluarga setelah peluk Islam

Nicole semasa menyantuni Muhammad di rumah transit milik MAINS pada Khamis.
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki mendakwa dipinggirkan oleh keluarga sendiri selepas mengetahui dirinya memeluk agama Islam kira-kira tiga bulan lalu.

Muhammad A Ponnusamy,60, ketika ditemui mendakwa, dia dihalau keluar rumah pada Disember lalu setelah ahli keluarganya mengetahui dia memeluk Islam sejak lapan tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia merahsiakan perkara tersebut kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah.

"Saya rasa sedih, tidak sangka keluarga sanggup melakukan ini kepada saya, mereka halau saya.

"Setelah dihalau dari rumah, saya tinggal di asrama pekerja yang disediakan oleh majikan di Rasah, tetapi setelah diberhentikan kerja saya terpaksa tidur di kaki lima, sebelum dibawa ke rumah transit milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan di Paroi," katanya ketika ditemui sempena lawatan Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Masyarakat, Nicole Tan di Taman Pinggiran Golf, Paroi pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah JKM, Zulyadain Limat.

Katanya, beberapa anggota dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan menyelamatkan dirinya dan menguruskan kehidupan hariannya dengan baik di rumah perlindungan tersebut.

Sementara itu, Nicole berkata, pihaknya akan menempatkan Muhammad di Rumah Seri Kenangan Seremban, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jika usaha untuk menyantuni keluarga mualaf itu gagal.

Katanya, ahli keluarga tidak boleh sesuka hati meminggirkan keluarga mereka, biarpun tidak lagi seagama, sebaliknya perlu menghormati kepercayaan dan agama masing-masing.

"Ini adalah sebahagian daripada keganasan rumah tangga terhadap kaum lelaki, biar pun ini adalah kes pertama kali berlaku di Negeri Sembilan, saya berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

"Keganasan rumah tangga tidak hanya berlaku kepada kaum wanita sebaliknya kepada kaum lelaki. Segera hubungi JKM atau talian kasih untuk mendapatkan bantuan segera," katanya.

Tambah Nicole, JKM menyampaikan sumbangan RM300 melalui Tabung Bantuan Segera untuk lelaki itu membeli barangan keperluan peribadi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!