Bruno Suzuki peluk Islam

Bruno mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Rabu.
Bruno mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Rabu.
A
A
A

PASUKAN PDRM FC mengumumkan pemain import mereka, Bruno Suzuki memeluk agama Islam pada Rabu.

Perkara itu dikongsikan PDRM FC melalui laman Facebook mereka selepas Bruno mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol).

"Saudara Baru Islam, Bruno Suzuki. Alhamdulillah dengan syukur ke hadrat ALLAH ingin mengumumkan bahawa pemain PDRM FC, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam.

"Beliau telah mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.

"Sesungguhnya Hidayah itu milik Allah. Allahuakbar," kata pasukan itu.

Penyerang berusia 30 tahun itu mengucap kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M Rajoli dan disaksikan oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur (KL), Senior Asisten komisioner Noor Hisam Nordin, Timbalan Komandan (Kepolisan AM) Pulapol KL, Superintenden Razali Mohamed Shahid, barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC.

Bruno merupakan antara pemain import yang lama berada di negara ini dan pernah beraksi bersama pasukan seperti Negeri Sembilan dan Terengganu.