Jadikan ladang sebagai kawasan agropelancongan

Haslina (dua dari kanan) bersama Mohd Noorhardy (dua dari kiri), Muhammad Yusni (kiri) dan Mohammad Ezri (kanan) menunjukkan buah nanas MD2 di ladang nanas Kampung Sungai Merab.
Haslina (dua dari kanan) bersama Mohd Noorhardy (dua dari kiri), Muhammad Yusni (kiri) dan Mohammad Ezri (kanan) menunjukkan buah nanas MD2 di ladang nanas Kampung Sungai Merab.
A
A
A

KAJANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggalakkan usahawan pertanian menjadikan ladang mereka sebagai kawasan agropelancongan dengan mempelbagaikan produk jualan dan tanaman.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, kementeriannya boleh memberi nasihat dan panduan kepada usahawan pertanian yang berminat terutama di bawah program Agropreneur Muda.

Haslina
Haslina

Menurutnya, agropelancongan akan membantu menambah pendapatan, selain menjual produk untuk dimakan.

“Kita menggalakkan usahawan mempelbagaikan tanaman mereka, selain dijadikan sebagai lokasi pelancongan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Ladang Saudagar Nanas Kampung Sungai Merab di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Selangor, Muhammad Yusni Ramelan; Pengarah Unit Agropreneur Muda, Mohammad Ezri Shamsuddin dan pengusaha Ladang Saudagar Nanas, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain.

Mohd Noorhardy, 41, yang mengusahakan ladang nanas seluas lapan hektar itu merupakan peserta Agropreneur Muda.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noorhardy
Mohd Noorhardy

Haslina berkata, ladang berkenaan bakal dijadikan pusat agropelancongan bagi tanaman nanas.

“Selain menyediakan kafe yang terletak di puncak bukit dengan berlatar belakangkan pemandangan Bandar Baru Bangi, Ladang Saudagar Nanas juga akan menyediakan pelbagai aktiviti pelancongan dan pendidikan.

“Antara produk yang akan disediakan di ladang tersebut ialah karipap, jus, smoothie, kopi, ketupat dan rendang yang kesemuanya berasaskan nanas.

Mohd Noorhardy menunjukkan produk yang diusahakan di Kampung Sungai Merab.
Mohd Noorhardy menunjukkan produk yang diusahakan di Kampung Sungai Merab.

“Ia juga berpotensi menjadi tempat menyediakan pendidikan kepada pelajar sehinggalah usahawan tani yang mahu menimba ilmu untuk mengenali industri nanas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noorhardy berkata, ladang yang dijangka dibuka kepada pengunjung pada pertengahan Mei tahun ini akan memperkenalkan pelbagai jenis nanas yang ditanam di kawasan berkenaan.

“Saya juga mahu memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman memetik buah nanas,” katanya.