X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita disamun bekas kekasih

A
A

MELAKA - Seorang wanita bukan sahaja disamun malah dicekik dan dicederakan bekas kekasihnya dalam kejadian di Jalan Melaka Raya, Banda Hilir pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang, mangsa berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman telah didatangi suspek berusia lingkungan 28 tahun dipercayai berang apabila mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki lain, sebelum suspek bertindak merampas telefon bimbit mangsa jenama Samsung A11.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek turut mengikut mangsa masuk ke dalam pejabat dan merampas sebuah lagi telefon bimbit milik mangsa jenama Samsung A1 Core.

"Mangsa kemudiannya terus keluar dari pejabat peguam berkenaan namun telah ditampar, ditendang dan dicekik suspek," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek juga telah mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut untuk menyebarkan gambar mangsa dalam keadaan mengaibkan di media sosial sekiranya mangsa membuat laporan polis.

Menurutnya, mangsa yang bimbang dan tidak berpuas hati ke atas tindakan bekas teman lelakinya itu membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir pada hari sama.

Katanya, kira-kira jam10.30 pagi Rabu, polis berjaya memberkas suspek di dalam sebuah kereta di Jalan Suria Taman Malim Jaya dan merampas dua telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan ujian urin adalah negatif.

"Permohonan reman suspek akan dibuat pada pagi Khamis bagi membolehkan kita meneruskan siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!