Gelandangan boleh berubah jika ada sokongan

Tinjauan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang dirakam Sinar Harian. Gambar kecil: Musa Razali
Tinjauan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang dirakam Sinar Harian. Gambar kecil: Musa Razali
A
A
A

IPOH - [LAPORAN KHAS] Golongan gelandangan mampu berubah jika perhatian dan bimbingan sewajarnya diberikan kepada mereka.

Penyelia Rumah Teduhan Kelana, Musa Razali berkata, sejak pusat yang menempatkan golongan gelandangan beroperasi lima tahun lalu, penghuninya kerap bertukar.

Menurutnya, kebanyakan penghuni berjaya mendapatkan pekerjaan dan rumah hasil bantuan serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

"Saya bersama golongan ini sudah lama dan mereka ini sebenarnya boleh berubah dengan syarat ada sokongan serta dorongan diberikan.

"Kebanyakan mereka ini dibuang oleh keluarga dan kurang kasih sayang sejak kecil. Apabila kita beri mereka peluang dan sokongan, mereka boleh berubah dan bekerja, memiliki kenderaan serta menyewa rumah tanpa perlu hidup gelandangan lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, di Ipoh terdapat kira-kira 20 hingga 30 gelandangan yang dibantu oleh Teduhan Kelana yang merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan khusus membantu golongan tersebut.

Menurutnya, selain menyediakan tempat tinggal sementara di Rumah Teduhan Kelana, pertubuhan itu juga turut menyediakan makan malam untuk gelandangan.

"Sebagai badan NGO, kita membantu sekadar termampu. Makanan diberikan kerana simpati dengan golongan ini kerana adanya terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak mampu untuk beri makan kepada semua gelandangan di Ipoh ini yang dianggarkan melebihi 200 orang. Cuma jika ramai NGO membantu mungkin lebih banyak gelandangan dapat dibantu," katanya.

Jelas Musa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah gelandangan di sekitar Ipoh dilihat bertambah berdasarkan muka-muka baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, apabila ditanya mereka memaklumkan baru keluar dari penjara selain dibuang oleh anggota keluarga.

Mengenai penyelesaian masalah gelandangan tersebut, Musa berkata, kerajaan sebenarnya boleh membantu dengan menyediakan tempat sementara untuk mereka selain khidmat kaunseling dan sebagainya.

Menurutnya, golongan gelandangan boleh berubah dengan syarat mereka diberikan bimbingan dan bantuan oleh pihak-pihak berkaitan.

Jelas beliau, NGO seperti Teduhan Kelana juga bersedia memberikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan jika mereka benar-benar mahu memastikan bandaraya Ipoh bebas gelandangan.