X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Lima ‘Geng Mimi Vape’ termasuk ketua ditahan dalam serbuan

Saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek yang memiliki pelbagai rekod jenayah itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
A
A

LANGKAWI - Polis menumpaskan satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Mimi Vape’ yang dipercayai aktif melakukan kes pecah kedai dan rumah, selepas lima anggotanya ditahan dalam serbuan pada 17 Februari dan semalam (Isnin) sekitar pulau ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan pada 17 Februari lepas hasil risikan, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah melancarkan Ops Pintu dan menahan dua lelaki berusia 32 serta 39 tahun di sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit pada pukul 7.00 pagi.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, ia membawa kepada penahahan tiga lagi anggota kumpulan itu yang berumur antara 25 dan 35 tahun termasuk ketua kumpulan itu yang bekerja membaiki telefon dan vape di sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit, 1.30 tengah hari pada Isnin.

“Hasil serbuan, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 11 gram serta beberapa barang curi dipercayai hasil kegiatan pecah kedai dan rumah. Kejayaan menumpaskan kumpulan ini telah menyelesaikan lapan kejadian pecah kedai dan rumah yang berlaku di sekitar Langkawi sejak Jun tahun lepas,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat polis Langkawi, pada Selasa.

Menurutnya kumpulan ini aktif melakukan kegiatan jenayah sejak Jun tahun lepas, dengan yang terbaharu melibatkan kejadian pecah masuk sebuah kedai serbaneka melibatkan kerugian hampir RM5,000 pada 10 Februari lepas.

“Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan kegiatan jenayah mereka pada awal pagi seterusnya mencabut ‘plug’ utama di hadapan kedai untuk mengelak daripada dikesan oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Shariman berkata, saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek yang memiliki pelbagai rekod jenayah itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Bagi kes pecah rumah kerja siasatan dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala rampasan dadah disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!