X

Kindly register in order to view this article
!

'Bila masa saya jadi broker maahad'- Ustaz Kazim

Perkongsian di Facebook Mohd Kazim Ahad lepas mengenai komen berunsur fitnah yang mengaitkannya dirinya sebagai broker jual beli maahad.
A
A

IPOH - Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias melahirkan kebimbangan dengan penggunaan kata fitnah di media sosial yang ketika ini menjadi satu budaya biasa dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja meninggalkan kesan buruk yang berpanjangan, tetapi boleh membunuh karakter seseorang.

Menurutnya, lebih membimbangkan ada kalangan masyarakat menerima maklumat daripada media sosial itu secara bulat-bulat dan menyebarkannya tanpa merujuk kepada sumber yang sahih.

"Saya lihat ketika ini begitu mudah sekali kita meluncurkan anak panah fitnah kepada seseorang tanpa mengenali lebih dalam sikap mereka.

"Ini satu perkara yang tidak betul, lebih-lebih lagi jika dilemparkan kepada penceramah, dengan cerita yang bukan-bukan seolah-olah mahu menjatuhkan karakter mereka, menghilangkan perasaan hormat dan ingin belajar orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkongsian di Facebooknya Ahad lepas mengenai komen berunsur fitnah yang mengaitkan dirinya sebagai broker jual beli maahad.

Komen yang dimuat naik beberapa pemilik akaun itu turut mempertikaikan gelaran al hafiz kepada beliau yang merujuk kepada penghafal al-Quran.

Mohd Kazim berkata, sebelum ini beliau mengambil pendirian untuk tidak mahu melayan fitnah dan komen-komen negatif yang dilemparkan kepada dirinya.

Bagaimanapun katanya, dengan wujudnya media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya, adalah perlu untuk memperbetulkan fitnah yang dikenakan bagi mengelak ia terus berpanjangan.

"Maahad tahfiz saya masih ada dan 1 Mac ini akan dibuka semula, tak ada masalah pun, jadi bila masa saya jadi broker maahad tahfiz.

"Saya adalah lulusan dari maahad tahfiz kerajaan Perak, ada diploma dari situ, majlis konvokesyen pun disahkan oleh baginda Sultan Perak sendiri yang ketika itu Raja Muda.

"Semua ada kalau nak tengok, buat apa nak fitnah, tetapi tak kan lah saya nak upload (muat naik) semua dalam media sosial untuk buktikan bahawa saya ada pentauliahan dan sijil semua," katanya.

Beliau berkata, komen yang dimuat naik individu terbabit turut memberi kesan kepada anak-anaknya yang bertanyakan lanjut perkara berkenaan.

"Selalunya mereka diam sahaja, tetapi kali ini mereka tanya dan memberitahu yang cerita ayah mereka ini sedang 'trending' dan sebagainya.

"Jadi saya kena maklum jugalah dan tujuan saya upload itu supaya orang yang terlibat menghentikan apa yang dilakukan dan paling penting tidak terus terlibat dengan dosa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!