X

Kindly register in order to view this article
!

MB Negeri Sembilan sedia menerima suntikan vaksin Covid-19

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19 jika dipanggil oleh Jabatan Kesihatan Negeri itu pada bila-bila masa.

Menurut Aminuddin, beliau sudah menyerahkan borang dan daftar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pengambilan vaksin Covid-19 itu.

"Saya dimaklumkan vaksin akan sampai dalam masa dua atau tiga lagi di Negeri Sembilan namun jumlah dan siapa penerima awal belum ada maklumat lagi.

"Esok saya akan menghadap Tuanku Muhriz (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan) dan persembahkan kepada Tuanku, sama ada Tuanku berkenan atau lain-lain. Jika Tuanku perkenan bersetuju, saya akan maklumkan kepada Pengarah Kesihatan dalam mesyuarat exco," katanya selepas Majlis Perasmian Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock dan Pengetua SMK Tanah Merah Razali Md Taib.

Tambahnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan telah ditawarkan menerima suntikan vaksin, namun ada di antara mereka yang menolak untuk menerima suntikan awal bagi fasa pertama ini.

"Bagi fasa pertama ini saya difahamkan semua kumpulan barisan hadapan di Negeri Sembilan akan menerima suntikan dan kita mempunyai tiga fasa.

"Saya nasihatkan kepada semua rakyat negeri ini untuk mengambil vaksin bagi sama-sama melandai lengkuk penularan Covid-19,' katanya.

Malaysia akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari ini melalui tiga fasa bermula dengan fasa satu dari Februari hingga April (Februari-April 2021) untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa dua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa tiga dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas; warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada 26 Februari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!