X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu bapa mula sibuk cari kelengkapan sekolah anak

Muhammad Firdaus dan isteri memilih kasut sekolah untuk anak mereka di sebuah kedai pakaian di Sungai Besar, Selangor pada Selasa.
A
A

SUNGAI BESAR - Orang ramai kini mula sibuk mengunjungi kedai pakaian dan pasar raya di sini bagi membuat persiapan persekolahan selepas kerajaan mengumumkan sesi persekolahan 2021 dibuka secara berperingkat bermula Isnin depan.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati ibu bapa mengambil kesempatan melakukan persiapan terakhir.

Seorang pelanggan, Muhammad Firdaus Hamzah, 30, berkata, dia mengambil cuti untuk menyediakan kelengkapan persekolahan lima anaknya.

"Hari ini saya meluangkan masa mencari keperluan tiga orang anak yang bersekolah rendah manakala dua lagi di pra sekolah Tabika (Taman Bimbingan Kanak-Kanak)," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Muhammad Firdaus yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia dan isterinya Norifizan Ajis Samsudin, 27, memperuntukkan sebanyak RM500 untuk membeli keperluan persekolahan tersebut.

"Kami memang sudah menyimpan wang untuk membeli barangan persekolahan dan hanya menambah apa yang perlu sahaja seperti pakaian dan kasut," katanya.

Muhammad Firdaus yang menetap di Kampung Batu 38 Sabak Bernam berkata, langkah kerajaan membenarkan jumlah penumpang berdasarkan kapasiti kenderaan juga memudahkan mereka yang mempunyai keluarga ramai keluar membeli barangan keperluan persekolahan.

"Kami tidak perlu berulang-alik ke pasar raya untuk tujuan itu dan anak-anak juga boleh membuat pilihan masing-masing," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Rosnah Mazlan, 58, berkata, dia membawa anak perempuannya yang berusia sembilan tahun untuk membeli barangan tambahan persekolahan.

"Hari ini saya dan anak ke pasar raya kerana mahu membeli beg yang sudah dua tahun tidak diganti.

"Musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini kita lebih berjimat cermat apatah lagi kos kelengkapan sekolah juga meningkat.

"Selagi baju dan kasut lama boleh dipakai saya lebih menumpukan bajet kepada buku dan yuran persekolahan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!