428 pelajar tidak dapat duduki peperiksaan SPM di Sarawak

Amar Douglas
Amar Douglas
A
A
A

KUCHING - Seramai 428 pelajar daripada 32 buah sekolah di seluruh negeri Sarawak, tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seramai 414 pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kawasan tempat tinggal mereka dikuatkuasakan PKPD, manakala 14 lagi disahkan positif Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, 205 orang adalah pelajar lelaki dan 223 orang pelajar perempuan,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Sementara itu, Amar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, PKPD bagi kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya dilanjutkan sehingga 4 Mac ini, susulan daripada jangkitan Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, JPBN juga telah memperkasakan pasukan pematuhan Covid-19, yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan beberapa lagi agensi, untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam kalangan masyarakat.

Pada sidang akhbar sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya akan membuat rondaan berjalan kaki serta unit kenderaan di kawasan tumpuan orang ramai, selain menggunakan pembesar suara dan memasang siren atau lampu ‘beacon’ untuk menandakan kehadiran polis.

Mengenai situasi semasa pandemik Covid-19 di Sarawak, Amar memaklumkan terdapat satu kes kematian baharu melibatkan jangkitan wabak itu, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 74 orang atau sebanyak 0.91 peratus daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan.

Pada hari ini, terdapat 221 kes baharu Covid-19 yang dikesan di Sarawak, yang merupakan peningkatan sebanyak 36 kes atau 19.46 peratus berbanding 185 kes dilaporkan pada Ahad, dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini sebanyak 8,164 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: