Tangguhkan penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar

Malaysia mengesahkan akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar. - Foto Bernama
Malaysia mengesahkan akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 22 ahli Parlimen dan lima Senator menggesa kerajaan supaya menangguhkan penghantaran pulang 1,200 tahanan warga Myanmar sehingga keadaan politik di negara itu berakhir susulan rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Dalam kenyataan bersama, ahli Parlimen dan Senator terbabit berkata, kerajaan seharusnya memberi perlindungan sementara kepada warga Myanmar tersebut untuk mengelakkan hak asasi mereka dicabuli oleh kerajaan militari Myanmar.

Menurutnya, kerajaan militari Myanmar telah mula mengundurkan proses demokratik di negaranya termasuklah membatalkan pentauliahan yang dikeluarkan kepada ahli Parlimen yang telah menang kerusi dalam pilihan raya November lalu.

“Kerajaan ini telah menggantikan semua Menteri Union dan membentuk semula pentadbiran tahap tempatan dengan anggota keselamatan ataupun sekutu mereka.

“Selain itu, kerajaan ini juga melemahkan kebebasan kehakiman dengan mengadakan pelantikan baharu di Mahkamah Tertinggi dan Mahkamah Tinggi peringkat negeri dan wilayah, termasuk Tribunal Perlembagaan.

“Kemudian membatalkan kebebasan berpersatuan dan bersuara dengan menahan lebih 300 menteri peringkat Persekutuan dan tempatan serta ahli Parlimen, pemimpin NLD, aktivis dan anggota masyarakat sivil, termasuk wartawan, sami dan pelajar,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu ditandatangani secara bersama oleh 22 ahli Parlimen dan lima Senator antaranya ialah Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Rengam), Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu), Marzuki Yahya (Senator), Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Datuk Mukhriz Mahathir (Ahli Parlimen Jerlun) dan Maria Chin Abdullah (Ahli Parlimen Petaling Jaya).

Dalam pada itu, ahli Parlimen dan Senator berkenaan berkata, perkembangan tersebut memberi isyarat wujudnya kebimbangan berasas sekiranya Malaysia menghantar balik warga Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia besar kemungkinan mereka akan dianiaya.

“Kerajaan haruslah mengikut undang-undang antarabangsa dan membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bertemu dengan tahanan Myanmar di pusat tahanan Malaysia untuk memastikan sama ada sesiapa di antara mereka memerlukan perlindungan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan wajar menggesa Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengadakan mesyuarat khas dengan menyeru kerajaan militari Myanmar mengikuti prinsip Piagam ASEAN.

Katanya, antara prinsip berkenaan termasuklah membebaskan semua tahanan yang ditahan sewenang-wenangnya dengan serta-merta dan tanpa syarat.

“Kedua, menahan diri daripada menggunakan keganasan terhadap penunjuk perasaan dan menghormati hak rakyat untuk bersuara bebas dan berhimpun secara aman.

“Membenarkan ahli Parlimen untuk menunaikan amanah mereka tanpa halangan dengan memulakan sidang Parlimen.

“Membatalkan sekatan bagi orang di Myanmar untuk mempraktikkan agama mereka secara bebas dan selamat,” katanya.

Pada 12 Februari lalu, Reuters melaporkan Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar selepas pemerintah tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan perkara tersebut dan berkata, pihak berkuasa bersetuju menyerahkan tahanan daripada depot tahanan Imigresen kepada Angkatan Laut Myanmar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pemegang kad UNHCR dihantar pulang