X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan vaksin akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan

Pasukan keselamatan mengawal ketat pergerakan trak DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dari KLIA ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pada Ahad akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kesemua 16 lokasi simpanan itu meliputi seluruh negara.

Menurutnya, pusat simpanan itu melibatkan enam di Selangor; Johor (4); Kuala Lumpur (3); Pulau Pinang (2) dan Putrajaya (1).

"Hari ini (Ahad) penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech telah pun tiba dan mendarat di Malaysia sebanyak 312,390 dos.

"Ini adalah penghantaran pertama dan kita akan menerima penghantaran yang kedua pada 26 Februari dan seterusnya setiap dua minggu kita akan menerima, sampailah kita menerima keseluruhan tempahan kita daripada Pfizer," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, selanjutnya pada 27 Februari ini Malaysia dijangka akan menerima vaksin pertama buatan syarikat biofarmaseutikal dari China iaitu Sinovac.

Selain itu katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang mempertimbangkan vaksin-vaksin keluaran syarikat lain.

"Hari ini (Ahad) merupakan satu hari yang bersejarah kerana vaksin telahpun sampai dan juga bolehlah kita buat persediaan awal untuk memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!