X

Kindly register in order to view this article
!

Perlunya akta semua jenis gangguan

Dr Muzaffar Syah Mallow
A
A
MALAYSIA perlukan sebuah peruntukan undang-undang khusus bagi membendung dan menghentikan sebarang jenis gangguan yang boleh berlaku kepada mana-mana pihak dan bukan hanya mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung dan menghentikan gangguan berbentuk seksual atau lebih dikenali umum sebagai gangguan seksual sahaja.

Buat sekian lama, banyak pihak dalam negara kita khususnya badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah memberi cadangan kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung dan menghentikan salah laku ataupun gangguan seksual dalam negara kita. Cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung dan menghentikan gangguan seksual hanya dapat memberi tumpuan terhadap salah laku ataupun gangguan yang berbentuk seksual sahaja, ia tidak dapat membendung dan menghentikan salah laku dan gangguan selain daripada yang berbentuk seksual.

Sekiranya cadangan kewujudan sebuah akta khusus bagi membendung dan menghentikan gangguan seksual ini diteruskan juga, ia tidak sempurna dan lengkap kerana ia terbatas bagi membendung dan menghentikan gangguan berbentuk seksual sahaja.

Terdapat pelbagai jenis salah laku dan gangguan yang boleh berlaku kepada orang ramai di luar sana yang memiliki kesan yang sama teruk dengan kesan gangguan seksual. Semua jenis gangguan yang boleh berlaku ini perlu dikenalpasti dan diatasi dengan lebih berkesan melalui sebuah undang-undang khusus supaya tiada pihak berterusan melakukan sebarang jenis salah laku ataupun gangguan kepada pihak yang lain.

Apa maksud gangguan? Gangguan boleh ditakrifkan sebagai sebarang jenis perkataan ataupun perbuatan yang boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain. Gangguan itu boleh berlaku secara lisan, penulisan, ataupun melalui tindakan yang boleh mengundang perasaan tidak puas hati daripada orang lain. Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi moden pada masa kini, gangguan ini juga boleh berlaku secara dalam talian.

Gangguan-gangguan ini boleh dilakukan sekali-sekali dan ia juga boleh berlaku secara kerap. Apa yang paling penting, gangguan ini semua memberi kesan negatif kepada orang yang hadapi masalah gangguan berkenaan sama kesan fizikal, mental ataupun emosi.

Namun begitu, perlu diingatkan terdapat juga pelbagai jenis gangguan lain yang boleh memberi kesan buruk yang sama dengan gangguan seksual terhadap diri mangsa yang diganggu.

Antaranya gangguan berbentuk fizikal seperti mencubit, menampar, menendang, meludah dan lain-lain lagi. Terdapat juga gangguan peribadi seperti dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat ataupun perkataan yang menghina dan menjatuhkan reputasi dan maruah mangsa. Ia juga boleh meliputi salah laku ataupun gangguan menghendap dan mengintip.

Gangguan jenis ini juga boleh merangkumi perbuatan body shaming. Body shaming ialah perbuatan mencela, mengejek dan menghina mangsa di atas bentuk atau penampilan fizikal mangsa. Terdapat juga gangguan yang berbentuk diskriminasi. Gangguan diskriminasi ini boleh dilakukan terhadap diri mangsa kerana faktor usia, latar belakang, warna kulit, bangsa, agama, dan lain-lain lagi. Terdapat juga gangguan berbentuk psikologi di mana sebarang jenis perbuatan ataupun kata- kata kesat yang boleh memberi impak mendalam terhadap mental dan emosi mangsa. Sebarang jenis aktiviti pembulian termasuk buli siber juga adalah gangguan yang perlu dibendung dan dihentikan dengan segera.

Usaha bagi membendung dan menghentikan gangguan seksual tidak akan berjaya dilakukan sekiranya kita masih membiarkan banyak lagi gangguan dilakukan dalam masyarakat kita.

Kita tidak boleh pisahkan gangguan berbentuk seksual ini dengan semua jenis gangguan yang ada di luar sana kerana kesemua jenis gangguan itu memberi kesan negatif yang sama terhadap pihak mangsa.

Undang-undang sedia ada dalam negara kita juga dilihat tidak berupaya dan mencukupi bagi membendung dan menghentikan semua jenis gangguan ini. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya sebuah akta khusus yang boleh melarang semua jenis gangguan ini diwujudkan dalam negara kita.

* Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!