Debaran UMNO kekal atau tolak PN

Bastien Onn
Bastien Onn
A
A
A

SHAH ALAM - Teka-teki mengenai keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU), Janda Baik pada Jumaat malam, mengundang perdebatan dalam kalangan pemimpin parti dan pemerhati politik.

Ia susulan majoriti ahli MKT UMNO bertindak menutup mulut apabila ditanyakan keputusan mesyuarat berkenaan sehingga pelbagai pihak termasuk akar umbi parti keramat itu tertanya-tanya mengenai intipati sebenar pertemuan itu.

Mesyuarat MKT UMNO bersidang di Janda Baik, Pahang pada Jumaat malam.
Mesyuarat MKT UMNO bersidang di Janda Baik, Pahang pada Jumaat malam.

Sebelum mesyuarat badan tertinggi UMNO itu berlangsung, beberapa sumber terdekat parti itu mengesahkan antara agenda utama yang bakal dibincangkan oleh ahli-ahli MKT UMNO adalah status hubungan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, agenda lain menjadi tumpuan dalam mesyuarat penting itu termasuklah tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO oleh kerajaan PN bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dengan blok pembangkang.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pucuk kepimpinan UMNO berkenaan hasil mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa portal media tempatan, Edisi 9 dan UtusanTV, melaporkan bahawa MKT UMNO diterajui Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat ketetapan tiada kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Laporan portal itu turut mendakwa mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung selama tiga jam turut menolak jawatan TPM yang dikatakan ditawarkan kepada parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagi mendapatkan kepastian, seorang sumber terdekat UMNO Perak ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan dakwaan berkenaan dan menegaskan UMNO akan terus bergerak melalui koalisi Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).

Beliau yang juga seorang wakil rakyat mendakwa, ketetapan itu telah disampaikan kepada semua ketua UMNO bahagian di seluruh negara oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan sejurus mesyuarat selesai.

Keratan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Keratan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

"Daripada aspek sokongan ahli Parlimen BN kepada kerajaan PN, itu bukan isu kerana kerajaan Muhyiddin sebenarnya sudah hilang sokongan majoriti sebelum proklamasi darurat lagi.

"Cuma dalam soal kerjasama dengan Pas melalui MN, kita serah kepada parti itu untuk putuskan sama ada mahu meneruskan kerjasama atau tidak. Namun, di peringkat negeri seperti di Perak contohnya, Pas menunjukkan kerelaan untuk kekal dalam MN," katanya.

Nada berbeza pula disuarakan seorang ahli MKT UMNO yang enggan dinamakan apabila beliau menyifatkan laporan dakwaan ketetapan parti itu menolak Bersatu sebagai satu andaian semata-mata.

Beliau yang juga seorang bekas menteri Kabinet kerajaan BN sebelum ini turut menempelak sikap segelintir pihak media yang suka membuat andaian sewaktu melaporkan berita.

"Mereka suka-suka sahaja membuat andaian dalam melapor (berita).

"Keputusan sebenar akan diketahui jua kelak. Terima kasih kerana memahami," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn mengakui beliau masih resah menunggu hasil keputusan mesyuarat MKT parti itu sejak Jumaat malam.

Jelas beliau, sehingga kini, pucuk kepimpinan parti masih belum memberikan sebarang bayangan keputusan mesyuarat berkenaan dengan ahli-ahli MKT lebih memilih mengunci mulut.

"Berikutan itu, kami menerima macam-macam teori dan dakwaan melalui kiriman (media sosial) WhatsApp. Ada yang kata ketetapan sudah dibuat dengan UMNO sah menolak kerjasama dengan Bersatu.

"Ada juga yang kata ahli-ahli MKT UMNO masih diberikan masa untuk membuat keputusan penting dalam menentukan hala tuju parti menjelang PRU15," katanya.

Bastien turut berpandangan adalah lebih baik pucuk kepimpinan UMNO tidak mengemukakan sebarang ketetapan baharu, sebaliknya meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN.

"Lebih baik UMNO meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN sehingga terdapat keperluan untuk membuat satu ketetapan baharu.

"Tidak perlu UMNO, PN memperbesar-besarkan perkara ini," katanya.