X

Kindly register in order to view this article
!

Lakukan kajian kenapa Sugarbook popular dalam kalangan anak muda

Mohd Taufik Yaacob
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan digesa melakukan kajian kenapa platform seperti Sugarbook menjadi begitu popular di negara kita.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Taufik Yaacob berkata, penemuan itu penting bagi negara mengenal pasti punca berlakunya keruntuhan akhlak anak muda agar mudah ditangani.

Menurutnya, ini kerana berdasarkan statistik didedahkan, lapan daripada 10 universiti yang disenaraikan didakwa terlibat gejala ‘sugar baby’ dan paling ramai membabitkan universiti swasta.

“Mungkinkah penglibatan anak muda atau pelajar terlibat dalam Sugarbook ini bukan disebabkan kos sara hidup tetapi lebih kepada gaya hidup? Perlu dikaji kenapa sebenarnya sebegitu ramai anak muda kita terjebak dalam gejala ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula Khamis selepas Mahkamah Tinggi membenarkan semakan permohonan dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin mengeluarkan perintah itu selepas usahawan berusia 34 tahun itu tidak membantah dan setuju direman bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata, tindakan tegas pihak polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia terhadap pengasas aplikasi Sugarbook perlu menjadi langkah pertama.

“Seterusnya kita mesti berusaha menjadikan masyarakat secara keseluruhannya sebagai sebuah bangsa yang menyanjung tinggi akhlak mulia dan menolak maksiat yang berleluasa,” katanya.

Menurutnya, aspek perundangan dan pendidikan harus seiring untuk memastikan gejala yang meruntuhkan akhlak ditangani secara berkesan.

“Ketegasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini juga menunjukkan keutamaan negara dalam menjaga akhlak dan maruah rakyat untuk pastikan negara kita sentiasa berada dalam kerangka mulia dan barakah,” katanya.

Mohd Taufik berkata, platform janji temu Sugarbook itu sudah menggegarkan negara sejak Disember 2019 lagi.

“Isu ini telah dibangkitkan sejak zaman PH namun mereka gagal mengambil tindakan malah membiarkan saja Sugarbook berterusan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas 'Sugarbook' direman tujuh hari


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!