Covid-19: 2,461 kes positif, 8 kematian

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan penurunan kes baharu Covid-19 kepada 2,461 kes pada Sabtu daripada 2,936 yang dicatatkan pada Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semua kes baharu adalah penularan dalam negara yang melibatkan seramai 1,589 warga tempatan dan 872 bukan warganegara, menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 280,272 dengan kes aktif sebanyak 34,468, katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Beliau berkata, selain daripada itu, sebanyak 4,782 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 244,753 kes atau 87.3 peratus daripada keseluruhan kes.

"Sebanyak lapan kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 1,051 kes, manakala 207 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 91 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,001 kes diikuti Kelantan (257), Johor (233), Kuala Lumpur (230), Sarawak (134), Sabah (109), Perak (108), Kedah (101), Negeri Sembilan (89), Pulau Pinang (87), Pahang (42), Melaka (32), Terengganu (22), Putrajaya (13) dan Perlis (tiga).

Mengulas mengenai lapan kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes melibatkan warganegara iaitu tiga wanita dan lima lelaki berumur lingkungan 46 hingga 81 tahun yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 10 kluster baharu dikenal pasti pada Sabtu dengan kesemuanya adalah kluster di tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 510 kluster.

Katanya, daripada jumlah kluster baharu, empat dikesan di Johor iaitu Kluster Jalan Tanjung Enam; Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah dan Jalan Lapangan Terbang, manakala dua di Selangor iaitu Kluster Perdana Tiga dan Jalan Perusahaan Satu.

Artikel Berkaitan:

Dua kluster di Perak pula ialah Kluster Batu Sebelas dan Jalan Pelabuhan, sementara masing-masing satu kluster di Sabah iaitu Kluster Jalan Pasar dan Negeri Sembilan pula Kluster Tapak Bina Kasia.

Sementara itu, sebanyak 11 lagi kluster diisytiharkan tamat pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat di negara ini kini ialah 558 kluster.

Menerusi hantaran di Twitter, Dr Noor Hisham menjelaskan, lonjakan jumlah kes baharu di Kelantan adalah disebabkan banduan dari Penjara Dungun, Terengganu yang baru tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa. - Bernama