Putra sedia calon MB Perak

Hamidah
Hamidah
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak sudah menyediakan calon menteri besar sekiranya parti itu berjaya menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Penyelaras Putra Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, calon tersebut merupakan seorang tokoh terkemuka anak Perak yang hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.

Menurutnya, parti itu optimis untuk memenangi majoriti kerusi di Perak setelah melihat suasana perpecahan politik di dalam Perikatan Nasional (PN) terutama di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Apa yang pasti, calon Menteri Besar Perak itu bukan saya kerana tokoh yang kita akan ketengahkan ini seorang lelaki. Kita yakin calon ini akan diterima oleh rakyat di Perak kerana sangat berwibawa.

"Kita nampak dengan jelas bahawa pilihan raya akan datang menyaksikan pertembungan lebih dua penjuru melihat kepada UMNO dan Bersatu tidak lagi bersefahaman. Jadi Putra akan menjadi blok ketiga sebagai pilihan kepada rakyat untuk memilih," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Hamidah berkata, pihaknya kini menyasarkan 40 kerusi DUN di negeri ini untuk ditandingi berbanding 10 kerusi yang disasarkan sebelum ini.

Menurutnya, kerusi-kerusi yang disasarkan itu merupakan kawasan majoriti Melayu yang akan menjadi pilihan alternatif kepada orang Melayu.

Jelasnya, pertambahan kerusi itu dibuat kerana melihat peluang yang mampu diperoleh parti itu berikutan persengketaan antara UMNO dan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah pun mempunyai calon bagi separuh kerusi-kerusi tersebut manakala selebihnya kita sedang kenal pasti dan teliti calon yang benar-benar layak bertanding mewakili Putra.

"Selain itu, calon bukan Melayu juga kita akan tampilkan melalui Kelab Penyokong Putra untuk bertanding pada pilihan raya akan datang," katanya.

Pada 3 Julai 2020, Hamidah yang juga Naib Presiden Putra memaklumkan parti itu sudah mengenal pasti lima kawasan Parlimen dan 10 kerusi DUN di Perak untuk meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, Putra juga sudah mengenal pasti calon yang layak dan kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan orang tempatan dan mempunyai latar belakang profesional.

Selain di Perak, katanya, ketua Putra di setiap negeri juga sudah diarahkan mengenal pasti kerusi dan calon berpotensi untuk bertanding.

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Putra mahu tanding 15 kerusi di Perak