X

Kindly register in order to view this article
!

Kelemahan penguatkuasaan punca tidak takut rasuah

Shahrul Nasrun
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang membabitkan rasuah boleh dikatakan lengkap tetapi berlaku kelemahan penguatkuasaan sekali gus menjadikan masyarakat tidak takut menerima dan memberi rasuah.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin berkata, penambahbaikan dalam aspek penguatkuasaan perlu selain mengenakan tindakan terhadap pemberi dan penerima rasuah.

Beliau turut memberi contoh majoriti mereka yang dihadapkan di mahkamah membabitkan penjawat awam.

“Apa yang kita risau dalang sebenar terlepas tindakan mahkamah setelah memberi persetujuan untuk menjadi saksi pihak pendakwa raya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Shahrul Nasrun, rasuah merupakan masalah universal yang memerlukan penglibatan daripada semua pihak jika mahu membendungnya.

“Rasuah tidak eksklusif kepada ahli politik sahaja. Jika kita merujuk data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menunjukkan penjawat awam antara turut terlibat dalam rasuah. Paling membimbangkan kebanyakan kes rasuah membabitkan penjawat awam berusia di bawah 40 tahun.

“Dua kes besar iaitu skandal daging import melibatkan beberapa agensi kerajaan serta skandal Jabatan Imigresen Malaysia dalam kes sindiket pemalsuan cop keluar masuk di sempadan negara. Antara yang ditahan ialah pengarah agensi itu sendiri. Maksudnya, penjawat awam yang berkhidmat berpuluh tahun yang mengetahui selok-belok perundangan terbabit rasuah,” katanya.

Jelasnya, rasuah berlaku dalam setiap peringkat dalam agensi kerajaan dan ia mendorong masyarakat untuk memberikan imbuhan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agensi kerajaan seperti SPRM bebas daripada penglibatan mana-mana pihak.

“Agensi seperti Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International Malaysia (TI-M) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu mempromosikan budaya integriti dan akauntabiliti di peringkat sekolah. Mungkin dirangka modul mengenai integriti bermula di sekolah rendah,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!