Setiap perkara ada penamat

A
A
A

HAKIKATNYA, kita sering keliru dengan kehidupan. Adakalanya kita tidak buat salah pun dituduh bersalah, ada ketikanya kita sering berbuat baik, namun masih ada yang tidak menyukai.

Malah, jika kita berdiam diri, tetap ada yang mengacau kebahagiaan kita. Selain itu, mereka yang salah dipuja pula. Malah, yang sering berbuat jahat dan zalim, anak-anak mereka semuanya hebat dan cemerlang. Pendek kata, kita berterusan keliru kerana yang baik dihina dan yang jahat dipuja. Ingatlah, setiap perkara ada penamatnya.

Sebetulnya, bukan mudah untuk bertahan dengan bertubi-tubi ‘serangan’ kesusahan dan kezaliman kepada kita. Bagi mereka yang lemah, amat payah untuk bangkit semula. Tidak kurang juga yang mengalami masalah kesihatan mental yang serius. Malah, ada yang cuba membunuh diri kerana terlalu buntu dengan ujian yang menimpa mereka.

Bagi mereka yang senang dan begitu selesa dengan kehidupan, mudah memandang serong kelompok itu kerana beranggapan mereka tidak kuat dan suka mencari alasan untuk tidak berubah. Walhal, ujian sebegitu belum menimpanya lagi.

Berkaitan dengan ujian, kita perlu terima hakikat bahawa hidup ini adalah medan ujian. Kita perlu melaluinya walaupun sukar. Pun begitu, setiap ujian ada penamatnya, namun akan memasuki fasa ujian yang berbeza pula. Hakikatnya, panjang dan pendek masa ujian adalah berbeza dengan setiap individu.

Apa yang penting, sejarah kehidupan selama ini telah membuktikan kita telah berjaya menangani banyak ujian kerana ada penamatnya. Sebagai contoh, semasa kita kanak-kanak, kehidupan sangat susah dan dengan usaha yang berterusan, kita berjaya keluar daripada kesusahan tersebut setelah dewasa. Seterusnya, ada yang difitnah namun berakhir dengan kebenaran setelah begitu lama berjuang. Ada juga yang bertarung dengan sakit kronik, namun diberikan kesembuhan setelah bertahun-tahun lamanya. Apa yang jelas, silih berganti antara susah dan senang ada penamatnya.

Oleh itu, ALLAH SWT telah berfirman: “Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini. (Setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi, rahmat Tuhanmu adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Surah Az-Zukhruf, 43:32).

Pada hemat saya, terdapat beberapa punca kenapa kita keliru dengan kehidupan selama ini, antaranya kita sentiasa bersaing dengan orang lain. Ingatlah, kita tidak perlu berlumba dalam kehidupan, yang penting kita sampai ke garisan penamat dengan reda ALLAH. Apa gunanya berjaya di dunia, namun tiada reda ALLAH. Justeru, setiap ujian adalah proses untuk mendapat keredaan-Nya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kita keliru kerana mahu menamatkan setiap ujian secepat yang mungkin, namun tidak berbuat apa-apa untuk menamatkannya. Sejujurnya, kita masih belum tenang jika begini keadaannya.

Adalah jelas hanya ketenangan dapat membahagiakan hidup kita. Menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya 'Kemanisan Iman': “Kebahagiaan merupakan perkara maknawi yang tidak dapat dilihat dengan mata, tidak dapat diukur dengan neraca dan tidak dapat dibeli dengan dinar. Kebahagiaan adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh manusia dalam dirinya dan bukannya datang dari luar. Kebahagiaan tidak boleh diberikan oleh manusia. Malah, manusia tidak dapat menarik kebahagiaan yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT.”

Rumusannya, kita perlu teruskan kehidupan walaupun sukar. Sesungguhnya, setiap perkara ada penamatnya. Panjang dan pendek ujian tersebut bukan alasan untuk kita mengalah. Cari reda ALLAH.

*Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis