Dasar AS ke atas Iran mula berubah

Gambar fail menunjukkan reaktor nuklear air di Arak, selatan Teheran. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan reaktor nuklear air di Arak, selatan Teheran. - Foto AFP
A
A
A

DASAR baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran semakin berubah ketika Washington berada di bawah pentadbiran Presiden AS, Joe Biden yang mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu.

Menurut AFP, pentadbiran Biden dilihat menyokong pelaksanaan pendekatan diplomasi semasa berurusan dengan Iran dalam isu nuklear dan ia tidak tergesa-gesa untuk menyertai semula satu perjanjian nuklear yang ditandatangani AS pada tahun 2015.

Sebelum ini, pentadbiran baharu AS itu berulang kali menyatakan Washington akan mematuhi semula perjanjin itu yang dikenali dengan nama Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) jika turut berbuat demikian.

Perjanjian itu ditandatangani di Vienna, Austria pada Julai 2014 antara Iran dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan AS.

Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan turut menandatangani perjanjian itu bagi membolehkan Iran tidak dikenakan sekatan tetapi Iran perlu membenarkan agensi tenaga atom PBB memeriksa program nuklear negara tersebut.

Bagaimanapun, ketika di bawah pentadbiran Trump, beliau menarik keluar AS daripada menyertai perjanjian tersebut pada tahun 2018 kerana mendakwa ia berat sebelah sebelum mengenakan sekatan terhadap Iran berhubung isu nuklear.

Dengan perkataan lain, negara tersebut akan menarik semula sekatan yang dilaksanakan ketika ia berada di bawah pemerintahan Presiden Amerika yang ke-45, Donald Trump hanya selepas Teheran menarik semula langkah-langkah yang dilakukannya ketika membantah sekatan tersebut.

Iran, mahu memastikan sekatan ekonomi yang dilaksanakan ketika zaman Trump itu ditamatkan sebelum ia mematuhi semula komitmen perjanjian nuklear tersebut antaranya mengenai had yang dibenarkan ketika melakukan proses pengayaan uranium.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember tahun lalu, satu undang-undang diluluskan di Parlimen negara berkenaan apabila ia meminta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menghentikan pemeriksaan dilakukan ke atas program nuklear negara tersebut.

Pemeriksaan itu sebaliknya akan dibenarkan jika Washington melonggarkan sekatan ekonomi ke atas negaranya.

Teheran berbalah dengan Washington sejak Amerika Syarikat menarik keluar daripada satu perjanjian nuklear yang ditandatangani pada tahun 2014. - Foto AFP
Teheran berbalah dengan Washington sejak Amerika Syarikat menarik keluar daripada satu perjanjian nuklear yang ditandatangani pada tahun 2014. - Foto AFP

Pengarah Polisi Bukan Pertambahan di Persatuan Kawalan Senjata di Washington, Kelsey Davenport berkata kepada AFP bahawa sebarang tindakan bagi menghalang kemasukan pemeriksaan ke atas program nuklear Iran akan mencetuskan persoalan bahawa Teheran terlibat dalam aktiviti-aktiviti haram.

Sebelum ini, Iran dibimbangi akan menghasilkan senjata nuklear melalui program nuklearnya sehingga seorang saintis Iran, Mohsen Fakhrizadeh mati dibunuh melalui satu serangan hendap di pinggir Teheran pada tahun lalu.

Ekoran kematian 'bapa' nuklear Iran itu, negara berkenaan berikrar akan membalas dendam pembunuhan

tersebut yang didakwa melibatkan sebuah negara asing iaitu Israel.

Pentadbiran Biden telah menamakan seorang Utusan Khas ke Iran, Rob Malley iaitu salah seorang perangka perjanjian JCPOA dan antara tugasnya adalah memulihkan dialog AS dengan Iran yang sebelum ini telah ditamatkan ketika era Trump.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan kawalan senjata ketika pentadbiran Presiden AS ke-44, Barack Obama, Thomas Countryman memberitahu AFP bahawa Biden mungkin boleh menarik beberapa sekatan yang dilaksanakan ke atas Iran bagi menunjukkan kejujuran AS berhubung isu nuklear.

Kenyataan itu yang dikeluarkan beberapa hari lalu akhirnya menjadi realiti apabila AS pada Khamis lalu melonggarkan sekatan yang dilaksanakan pada era Trump ke atas Iran mengenai pergerakan para diplomat Teheran di sekitar bangunan PBB dan pejabat mereka di New York.

Sekatan itu menyebabkan Menteri Luar Iran ketika itu, Mohammad Javad Zarif berkata, beliau telah dilarang daripada melawat seorang rakannya yang dirawat di sebuah hospital di New York.

Pentadbiran Biden juga menyatakan ia bersedia untuk menemui beberapa pegawai Iran dengan bantuan EU untuk memulakan hubungan diplomasi dengan Iran.

Justeru, Iran pada Jumaat lalu memperbaharui desakannya supaya AS menarik semula semua sekatan yang dikenakan oleh Trump dan kebanayakannya masih dilaksanakan sehingga kini selepas pentadbiran Biden menawarkan rundingan diadakan melibatkan kedua-dua buah negara. - Agensi