Pengalaman hidup dalam dunia dadah

Mak Wan menagihkan bekalan makanan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit pada tahun 2019.
Mak Wan menagihkan bekalan makanan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit pada tahun 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - "JIKA terlibat dengan dadah, nak keluar atau berpatah balik ke pangkal jalan memang agar sukar," luah Wan Kamariah Daud, 69, warga emas yang dahulunya pernah terjebak dengan dadah.

Wan Kamariah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Wan berkata, segelintir penagih mampu berubah dengan sokongan masyarakat.

"Janganlah kita menghukum dan menghina mereka. Bekas penagih perlu sokongan masyarakat," katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Mengimbau kisah sisi gelap yang dilaluinya, wanita berasal dari Kelantan ini tidak keberatan untuk bercerita lebih lanjut.

Meskipun agak kekok di awal pertemuan, namun selepas beberapa ketika berbicara, wanita lebih setengah abad itu akhirnya sudi bercerita.

"Seawal usia 11 tahun saya sudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah kerana dikahwinkan pada usia muda dengan lelaki yang juga pengedar dadah, kemudian berpindah ke ibu kota pada tahun 1967," katanya.

Mak Wan berkata, suaminya akhirnya ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung mandatori akibat kesalahan mengedar dadah.

"Saya terpaksa meneruskan aktiviti mengedar bahan terlarang itu kerana desakan hidup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penjara ibarat rumah kedua

Menurutnya, penjara dan pusat serenti ibarat menjadi rumah kedua kerana sering kali ditahan pihak berkuasa.

"Selain menjadi pengedar dadah, saya juga penagih tegar. Lorong di Chow Kit menjadi tempat untuk melepaskan gian.

"Makin lama, keadaan diri makin teruk seperti orang tidak siuman akibat dadah," katanya.

Mak Wan yang turut digelar sebagai wanita besi Chow Kit berkata, dia sanggup menjamah sisa makanan orang lain di kedai makan demi mengisi perut.

"Malu sudah tidak saya pedulikan. Saya sanggup kutip sisa makanan yang orang buang asalkan perut terisi," katanya.

Mak Wan bagaimanapun bertekad untuk berubah pada tahun 1999 setelah dibebaskan dari sebuah pusat serenti, namun dia memohon untuk kekal berdampingan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memberinya kekuatan meneruskan pemulihan.

"Saya telah dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya di bawah AADK," katanya.

Menurutnya, pendidikan agama yang dipelajari menjadi kunci untuk dirinya berubah.

"Pendidikan agama menjadi kunci perubahan agar tidak terjebak kembali dengan najis dadah," katanya.

Dia yang mengakui sukar untuk membaca kitab suci al-Quran satu ketika dahulu kini bersyukur kerana sudah lancar, malah sudah khatam.

"Sebelum ini, nak baca surah al-Fatihah pun tidak boleh. Sekarang saya sudah khatam al-Quran sebanyak tiga kali," katanya.

Mak Wan berkata, pengisian agama banyak membantu dirinya agar lebih tenang dan bersemangat untuk pulih.

Jejak kaki ke Makkah

"Pernah satu ketika saya hampir murtad, namun ALLAH SWT memberi peluang kedua untuk saya meneruskan hidup serta mendekatkan diri dengan-NYA," kata Mak Wan.

Mak Wan berkata, dia pernah menyimpan impian dan hasrat untuk menunaikan umrah.

"Doa saya menjadi kenyataan apabila sekumpulan pelajar dari luar negara mengumpul dana untuk saya ke Tanah Suci setelah melihat video mengenai saya tular di media sosial pada tahun 2011," katanya.

Katanya, sikap jujur juga penting untuk berhadapan dengan masyarakat.

"Mana kita pergi harus jujur dengan diri sendiri untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap bekas penagih," katanya.

Wanita itu juga pernah berkhidmat sebagai warden pusat pemulihan wanita di salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Saya juga pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji hanya RM10 sehari.

"Saya perlu mengikat perut dengan niat berpuasa untuk kelangsungan hidup," katanya.

Pakar Motivasi Harun Abu Bakar@ Cgu Jinggo (kanan) melihat produk karipap sejuk beku yang diusahakan Mak Wan.
Pakar Motivasi Harun Abu Bakar@ Cgu Jinggo (kanan) melihat produk karipap sejuk beku yang diusahakan Mak Wan.

Mak Wan berkata, pandangan serong masyarakat terhadap golongan penagih dadah tidak dapat ditepis.

"Namun ia memberi semangat kepada saya untuk membantu penagih untuk berubah.

"Saya pernah merasai situasi yang sama, akibat persepsi masyarakat, penagih kembali mengambil dadah," katanya.

Kifarah

Ketika temu bual, Mak Wan juga bercerita mengenai basikalnya yang dicuri penagih dadah.

"Saya kenal siapa pencuri itu. Walaupun ada perasaan marah, namun saya tidak kisah kerana sebelum ini saya pernah mencuri harta orang lain.

"Saya muhasabah diri dan berdoa agar pencuri itu berubah dan kembali ke pangkal jalan," katanya.

Wanita itu berhasrat mahu mengumpul bekas-bekas penagih yang telah berjaya dalam usaha membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas penagih.

"Saya melihat ada segelintir masyarakat melakukan diskriminasi terhadap golongan gelandangan yang dianggap sebagai penagih dadah dan penjenayah," katanya.

Menurutnya, usaha untuk memulihkan penagih bukan satu kerja yang mudah.

"Kita memerlukan individu yang pernah mengalami nasib sama dengan golongan tersebut untuk membantu mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.

Mak Wan meluangkan masa bersama gelandangan di sekitar Chow Kit pada tahun 2019.
Mak Wan meluangkan masa bersama gelandangan di sekitar Chow Kit pada tahun 2019.

Mak Wan berkata, pemulihan penagihan dadah memerlukan usaha sepanjang hayat kerana penagihan dadah adalah satu penyakit kronik yang berulang.

"Individu yang terlibat dengan penagihan dadah ini boleh dipulihkan," katanya.

Menurutnya, AADK menyediakan rawatan dan pemulihan yang komprehensif melalui pendekatan pemulihan dalam institusi dan pemulihan dalam komuniti.

"Penekanan telah diberikan kepada pelaksanaan program psikososial, rawatan perubatan dan latihan kemahiran dan kerjaya serta meluaskan pendekatan kerohanian dan keagamaan," katanya.

Buka warung untuk gelandangan

Mak Wan kini membuka Warung Makan Sahabat yang menjadi tumpuan golongan gelandangan untuk mendapatkan bungkusan makanan yang disediakan secara percuma sejak Oktober lalu.

"Saya memerlukan kos RM2,500 sehari untuk penyediaan 300 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan gelandangan yang datang bermula jam 12 tengah hari.

"Mujur ada sumbangan daripada orang ramai yang membantu saya untuk menyediakan makanan itu," katanya.

Mak Wan yang minat dalam bidang masakan telah mendorongnya untuk belajar dan mencuba pelbagai resipi.

"Pada awalnya, saya menjual nasi lemak dan kuih. Kemudian Warung Makan Sahabat berjaya dibuka dengan sumbangan individu dan NGO," katanya.

Menurutnya, Warung Makan Sahabat turut dijadikan sebagai kelas fardu ain dan solat berjemaah serta kelas memasak.

"Warung ini boleh dijadikan sebagai pusat ilmu dan sokongan kepada golongan gelandangan dan penagih yang tekad mahu berubah," katanya.

Mak Wan juga berharap orang ramai dapat menyalurkan dana bagi membantunya membuat kerja amal serta memberi makanan kepada golongan fakir Muslim dan gelandangan.

"Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Wan Kamariah bernombor 1641- 4652-1043," katanya.

Sementara itu, pakar motivasi, Harun Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Cgu Jinggo berkata, Warung Makan Sahabat mampu membina semula semangat golongan gelandangan.

"Program kerohanian yang dilaksanakan di warung ini mampu meningkatkan daya tahan emosi golongan gelandangan," katanya.

Harun turut membantu Mak Wan dalam penyediaan dan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan di lorong sekitar Chow Kit.

"Sebelum ini, saya terbaca luahan Mak Wan di media sosial untuk membuka gerai bagi makan percuma kepada rakan jalanan.

"Hasrat sebenar, kita bukan sekadar mahu beri makanan sahaja dalam masa sama kita mahu buat program bina insan, kita mahu keluar golongan ini daripada 'kepompong'," katanya.