PdPR: 58 masjid di Perak sedia kemudahan internet percuma

MOHD YUSOP
MOHD YUSOP
A
A
A

IPOH - Sebanyak 58 masjid di Perak menyediakan kemudahan internet percuma bagi membantu anak-anak ahli kariah menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya sangat menggalakkan masjid dan surau di negeri ini menyediakan kemudahan seperti itu terutama bagi ahli kariah yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai gajet bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, masjid dan surau perlu meluaskan peranan bukan sahaja sebagai tempat beribadat tetapi mampu memberikan solusi kepada permasalahan masyarakat di dalam norma baharu.

"Saya ucapkan tahniah kepada masjid yang menggunakan pendekatan baharu ke arah kebaikan ahli kariah khususnya membantu pelajar dalam suasana pandemik Covid-19 ini.

"Katanya, pendekatan menyebar ilmu daripada masjid perlu dilihat secara menyeluruh antara fardu ain dan fardu kifayah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, peranan masjid membantu pelajar di dalam PdPR turut disentuh menerusi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di seluruh masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat hari ini.

Menurut khutbah tersebut, berdasarkan data tahun 2020, dilaporkan seramai 39 peratus pelajar di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

Jelasnya, daripada 367,662 pelajar di Perak, 8.91 peratus murid tiada memiliki peranti, 11.73 peratus murid tidak mempunyai data internet dan 15.57 peratus murid di kawasan kediaman mereka tiada liputan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, usaha yang dirintis oleh jawatankuasa masjid-masjid dengan menyediakan kemudahan internet percuma merupakan contoh kepekaan jawatankuasa masjid yang tampil ke hadapan, menawarkan khidmat bantuan, membantu untuk menjayakan program pendidikan kepada anak-anak yang sangat memerlukan.

"Masjid dan surau disarankan supaya mengenal pasti anak-anak kariah yang memerlukan bantuan peranti dan capaian internet untuk tujuan PdPR.

"Masjid dan surau disarankan menyediakan kemudahan internet percuma dan ruang yang sesuai dan selesa bagi pelajar mengikuti sesi PdPR," jelas khutbah tersebut.

Dalam pada itu, masjid dan surau turut disarankan menyediakan tabung khas kepada orang ramai untuk membuat sumbangan bagi menjayakan program PdPR.

Selain itu, mimbar turut mengingatkan orang ramai dan ahli korporat supaya tampil ke hadapan memberikan sumbangan dan wakaf, membantu menjayakan program PdPR di masjid dan surau.