X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir cari perumah baru dalam politik: Ahmad Zahid

Tangkap layar hantaran di Facebook Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kesediaannya untuk kembali kepada UMNO memperlihatkan beliau kini kehilangan hala tuju dalam perjuangan politik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan mengambil kira senario semasa yang berlaku dalam politik negara, beliau menyifatkan tindakan terbaharu Dr Mahathir itu adalah cubaannya mencari ‘perumah’ baharu dalam politik untuk kepentingan dirinya.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketujuh.

“Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memecatnya. Pakatan Harapan tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak luluskan pendaftaran parti baharunya.

“Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi',” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Pada Rabu, Dr Mahathir yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden UMNO selama 22 tahun itu mengakui beliau masih menyayangi parti pertama yang pernah dipimpinnya itu sehingga kini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang kini bersama Pejuang meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti lamanya itu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu jemputan dalam rancangan ‘Bersama Tun M’ iaitu bual bicara terbitan Sinar Harian pada Rabu lalu.

Ahmad Zahid berkata, rakyat pastinya sudah mengerti bahawa syarat yang ditetapkan Dr Mahathir itu sekadar alasan.

Tambah beliau, sejarah yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) juga membuktikan siapa yang sebenarnya meninggalkan dasar yang berpegang kepada bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.

“Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini atau juga ia strategi beliau pada PRU14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Ahmad Zahid secara sinis turut menunjukkan rasa kasihannya terhadap penyokong dan pemimpin parti Pejuang yang baharu diasaskan Dr Mahathir.

“Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Dr Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka,” katanya penuh tersirat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!