Kantoi sembunyi anak dalam but kereta

Gambar remaja lelaki yang tular di laman sosial selepas dia ditemui di dalam but kereta pada sekatan jalan raya di Seberang Jaya pada Rabu.
Gambar remaja lelaki yang tular di laman sosial selepas dia ditemui di dalam but kereta pada sekatan jalan raya di Seberang Jaya pada Rabu.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Cubaan seorang wanita yang menyembunyikan anak tirinya di dalam but kereta untuk merentas daerah tidak berhasil selepas dikesan polis dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di sini petang Rabu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja bersama rakan anak tirinya datang dari arah Butterworth menuju ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika pemeriksaan anggota polis mendapati wanita itu kelihatan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian but belakang menemui anak tirinya berusia 14 tahun sedang baring menyembunyikan diri dan memberikan alasan tindakan itu hanya untuk elak daripada ditahan berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka memberi alasan mahu ke pasar raya untuk membeli pakaian.

"Bagaimanapun wanita berkenaan gagal menunjukkan permit pergerakan merentas daerah dan dikompaun kerana ingkar dengan SOP PKP," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Shafee berkata, tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, manakala anak tiri dan rakannya diberikan amaran kerana masih di bawah umur.

Katanya, mereka juga telah diarahkan berpatah balik setelah tindakan kompaun diambil.

Artikel Berkaitan:

Tular gambar seorang remaja lelaki di laman sosial yang ditemui di dalam but kereta semasa sekatan jalan raya.

Rata-rata warganet beranggapan perbuatan remaja berkenaan adalah taktik terbaharu untuk merentas negeri dan daerah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!