Pengerusi, bendahari NGO direman kes palsukan dokumen sumbangan makanan RM5 juta

PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk pengerusi dan bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan program sumbangan makanan asas bernilai kira-kira RM5 juta.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 28 Februari 2026 itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Rabu.
Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara jam 3 hingga 5 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati bendahari NGO berkenaan yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama suspek lain antara tahun 2021 hingga 2023.
Mereka disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat mengelirukan pihak NGO terbabit sehingga menyebabkan pembayaran kira-kira RM5 juta dibuat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- Tiga individu termasuk pengerusi dan bendahari NGO direman empat hari untuk siasatan dakwaan dokumen palsu dalam program sumbangan makanan bernilai RM5 juta
- Majistret Ezrene Zakariah keluarkan perintah reman hingga 28 Februari
- Ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 3 hingga 5 petang
- Siasatan awal mendapati bendahari NGO bersubahat lakukan perbuatan palsu bersama suspek lain dari tahun 2021 hingga 2023
- Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
